Murid Orang Asli Kelantan wakil Malaysia ke Busan, Korea. Luar biasa!

Iklan
Murid-murid SK Sri Permai yang menyertai International Robot Olympiad ke-26, Busan, Korea baru-baru ini.

Tiga murid Orang Asli kaum Temiar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai, Gua Musang, Kelantan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mewakili Malaysia dalam International Robot Olympiad ke-26, Busan, Korea baru-baru ini.

Mereka bersama-sama pasukan murid dari Pahang dan Johor bersaing dalam Junior Creative Category, di mana para peserta ditugaskan untuk mencipta dan mempersembahkan solusi robotik.

Iklan
Iklan

Guru SK Sri Permai, Cikgu Ahmad Najmuddin Jaafar berkata, pemilihan anak-anak didik di pertandingan itu adalah pencapaian terbesarnya sepanjang mencungkil bakat terpendam murid dalam robotik.

"Tahniah semua, ini adalah hasil usaha keras kalian tanpa mengenal erti penat dan lelah," katanya.

Iklan

Wakil murid SK Sri Permai, Suzie Kidiee berkata, minatnya terhadap robotik berputik sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Perjalanan robotik bermula dengan galakan para guru yang mahu saya menyertai Petrosains Tech4All dan Petrosains RBTX Challenge 2024 sekali gus mendapati konsep pengaturcaraannya sangat mudah difahami,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi seorang guru.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad berkata, Petrosains sebagai badan impak sosial Petronas berbesar hati kerana diberi amanah untuk mendemokrasikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan komuniti.

"Melalui program-program seperti Petrosains RBTX Challenge dan Petrosains Tech4All, kami ingin memupuk minat yang lebih mendalam terhadap pendidikan STEM, menggalakkan komuniti kita untuk menerokai dan memanfaatkan peluang-peluang transformasi yang ditawarkan oleh STEM," ujarnya.

Terdahulu, International Robot Olympiad yang diperkenalkan pada tahun 1999, berfungsi sebagai pertandingan robotik yang paling menonjol di dunia.

Pertandingan ini menggalakkan para peserta bertukar idea, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah dan berinovasi untuk masa depan.

Ia memberikan peluang kepada peserta-peserta bekerjasama dan menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui robotik, bagi membentuk generasi pemimpin masa depan yang peka terhadap perkembangan industri dan teknologi.