Cikgu Nazmi tersenarai 10 finalis terakhir Hadiah Guru Global 2025

Iklan
Cikgu Nazmi (atas, tiga dari kanan) membanggakan negara apabila tersenarai 10 finalis terakhir bagi Hadiah Guru Global 2025.

Baru-baru ini, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli, 32, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas, Sarawak telah diumumkan antara 50 finalis terbaik dari seluruh dunia untuk Hadiah Guru Global atau Global Teacher Prize 2025.

Kejayaan diraih Cikgu Nazmi itu disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Ia kerana pertandingan berkenaan bukan ‘biasa-biasa’ sebaliknya memberi pengiktirafan kepada pendidik hebat dan tentunya yang luar biasa dalam menyalurkan sumbangan besar kepada profesion perguruan termasuklah meningkatkan martabat cikgu di seluruh dunia dan mengiktiraf peranan mereka sebagai penggerak masa depan masyarakat.

Terbaharu, Sinar Bestari menerima berita baik daripada Pengarah Eksekutif Pemimpin, Samuel Isaiah menerusi WhatsApp dan memaklumkan Cikgu Nazmi tersenarai sebagai 10 finalis terakhir bagi Hadiah Guru Global 2025 yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta.

Iklan

"Kejayaannya sebagai 10 finalis terakhir dalam pertandingan itu membuktikan bahawa usaha gigih guru-guru kita mampu mencipta perubahan besar.

"Pemimpin amat berbangga dan akan terus berdiri bersama cikgu-cikgu seperti beliau untuk mengembangkan impak positif mereka kepada pendidikan dan masyarakat,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Cikgu Nazmi melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang mengharumkan nama Malaysia di pentas global.

"Perjalanan ini, daripada memenangi Malaysia Teacher Prize 2023 anjuran Pemimpin, sehingga disenaraikan sebagai salah seorang daripada Top 10 Global Teacher Prize adalah pengalaman yang penuh erti dan tidak ternilai.

"Kejayaan ini didedikasikan sepenuhnya kepada murid-murid saya yang menjadi inspirasi dan pendorong utama di sebalik setiap usaha dilakukan.

"Semangat mereka untuk terus belajar dan maju menjadi nadi kepada semua projek yang telah kami jayakan bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut memberikan penghargaan kepada Cikgu Nazmi atas pencapaian tersebut.

"Pencapaian Cikgu Nazmi sebagai salah seorang daripada 10 finalis terakhir adalah bukti keupayaan guru Malaysia untuk mencipta perubahan besar dan cemerlang di pentas global.

"Saya amat mengagumi pendekatan Cikgu Nazmi yang berpusatkan murid dan bagaimana beliau memupuk kreativiti serta kepimpinan generasi muda melalui inovasi seperti Kelab Filpen.

"Kejayaan ini mencerminkan nilai-nilai yang selaras dengan aspirasi 'pendidikan manusiawi,’ di mana pendidikan tidak terbatas kepada melibatkan penyampaian ilmu dalam bilik darjah tetapi juga menerusi pembinaan karakter dan masa depan anak bangsa,” ujarnya.

Beliau menambah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berbangga dengan dedikasi dan semangat luar biasa guru-guru seperti Cikgu Nazmi dan akan terus menyokong usaha mereka dalam membentuk generasi masa hadapan Malaysia Madani.