Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Abdul Halim Abdul Gafor dilantik menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor berkuat kuasa 3 Februari 2025.
Berita mengenai pelantikan itu telah dikongsi oleh UKM menerusi Facebook mereka pada Rabu.
Setakat ini, hanya itu sahaja hantaran yang diberikan universiti berkenaan berkaitan pelantikan Abdul Halim.
Walaupun kenyataan ringkas, namun ia tetap mendapat maklum balas positif dalam kalangan warga maya.
Di ruangan komen, orang ramai memberi reaksi gembira dengan pelantikan Abdul Halim yang pernah menggalas jawatan Dekan Fakulti Perubatan UKM.
Mohd Jasmy misalnya, merakamkan ucapan tahniah kepada beliau dan mendoakan agar UKM terus cemerlang seperti yang dilakukan oleh mantan Naib Canselor sebelum ini.
Abdul Latif juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Abdul Halim dan mendoakan semoga UKM sentiasa relevan.
Seterusnya, Khazriyati Salehuddin melahirkan rasa syukur dengan pemilihan itu. Doanya supaya ALLAH permudahkan segala urusan dan beliau dapat menjalankan tugas dengan baik.
Sebelum ini, Naib Canselor UKM terdahulu, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman mengejutkan ramai apabila meletak jawatan itu berkuat kuasa Ahad lalu.
Beliau (Mohd Ekhwan) telah menggalas tugas dan tanggungjawab tersebut bermula 1 Januari 2021 hingga 2 Februari 2025.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengesahkan pihaknya telah menerima peletakan jawatan berkenaan.
"Katanya mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain. Jadi, kita kena hormat keputusan yang diberikan," ujarnya baru-baru ini.