'Mohd Ekhwan mahu tumpu perkara lain dan saya hormat keputusan dibuat. Terima kasih atas jasa & khidmat selama ini' - Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menghormati keputusan dibuat Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman yang meletak jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Zambry, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
"Saya sudah menerima surat peletakan jawatan beliau beberapa hari lepas.
"Beliau merupakan Naib Canselor yang telah menjalankan tugas dengan baik dan cukup dihormati rakan-rakan.
"Mohd Ekhwan telah menggalas jawatan itu dan ia telah disambung, jadi atas kapasiti tersebut, beliau merasa telah sampai masa (meletak jawatan)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Selasa.
Ditanya tentang lantikan baharu (Naib Canselor), Zamby berkata, ia akan melalui proses biasa dan akan diumumkan kemudian.
Terdahulu, Sinar Bestari melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu.
Difahamkan, beliau telah menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Naib Canselor UKM bermula 1 Januari 2021 hingga 2 Februari 2025.