Sudah 37 tahun Cikgu Suzana Jaafar @ Abdul Rahman mengabdikan hidupnya dalam bidang pendidikan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).
Sepanjang tempoh itu, beliau telah mendidik generasi Islam dengan penuh kesabaran, keikhlasan, istiqamah dan berjaya melahirkan ramai murid cemerlang akademik serta kokurikulum.
Cikgu Suzana yang kini mengajar di Pasti Nurul Ain Wakaf Tengah, Terengganu sebagai Guru Kanan telah diumum penerima Tokoh Guru Istiqamah Pasti Malaysia 2024 di Grand Margherita Hotel, Kuching, Sarawak pada 8 Februari lalu.
Penganugerahan itu adalah pengiktirafan atas kecekalan, kesungguhan dan dedikasi Cikgu Suzana dalam mendidik anak-anak Pasti agar mengenal Islam sejak usia awal.
"Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh guru-guru Pasti khususnya di Negeri Terengganu, untuk terus berbakti dan istiqamah dalam mendidik generasi celik al-Quran.
"Dan semoga ALLAH menerima segala usaha dan khidmat bakti ini sebagai amal soleh serta memberkati perjalanan ilmu yang dibawa," kongsi hantaran pengguna Facebook dikenali Mohd Syamri Abd Razak.
Sebelum itu, Cikgu Suzana turut diberi tanggungjawab menggalas beberapa jawatan lain berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.
Antara jawatan tersebut adalah Ketua Tarbiyah (Majlis Guru Pasti Dewan Undangan Negeri Batu Rakit), ahli jawatankuasa Majlis Guru Pasti Kawasan Setiu dan Jurulatih Utama Akademi Kawasan Setiu.