Trend tolak tawaran MRSM berkurang - Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi ketika berucap sempena Peluncuran Wakaf Mara Madani dan Sambutan Ulang Tahun MARA Ke-59 pada Khamis.

Kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada tahun ini amat memberangsangkan dan trend penolakan tawaran itu semakin berkurang.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berbanding sebelum ini kebiasaannya kira-kira 30 hingga 40 peratus pelajar yang ditawarkan masuk ke MRSM menolak dan diberikan kepada senarai pelajar menunggu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada 104,000 pelajar memohon, yang lulus cemerlang dalam Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) adalah seramai 22,400 orang.

"Tetapi kita hanya ada tempat sebanyak 8,909 dan setakat minggu pertama hari persekolahan, hanya sedikit saja yang tidak hadir atas sebab tidak diketahui.

Iklan

"Macam sebelum ini, saya ke MRSM Sungai Besar, tak sampai 20 orang yang tidak hadir. Dari situ kita lihat ramai yang sudah meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada sistem MRSM.

"Mungkin kesan daripada terjah yang saya lakukan, barulah mereka kenal institusi MRSM ini. Itu sudut positif daripada tindakan yang saya lakukan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Makan Tengah Hari bersama Media dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Peluncuran Wakaf Mara Madani dan Sambutan Ulang Tahun MARA Ke-59, Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu, mengulas isu mengenai hanya satu daripada 10 peratus kuota kepada pelajar bukan bumiputera yang memasuki MRSM, beliau tidak menafikan trend itu dilihat hampir sama setiap tahun.

Katanya, setakat ini trend tersebut tidak berubah dan sama seperti dahulu iaitu tidak ramai yang memenuhi kuota berkenaan.

"Tetapi bagi kami, pelajar bukan bumiputera yang memasuki MRSM ini ‘blend in’ dengan baik. Sebab itu kita terbuka kepada sesiapa saja nak masuk ke MRSM.

"Apa pun kita mengalu-alukan kemasukan pelajar bukan bumiputera ini sebab kita masih mengekalkan kuota itu untuk proses interaksi dan integrasi.

"Bagi saya perkara paling penting ialah kita akan mengekalkan kualiti dan fasiliti pendidikan terbaik di MRSM," jelasnya.