Kehilangan pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perdana, Kluang, Johor, Nur Fakhira Dania Zahir sejak keluar dari rumah pada 12 Februari lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui dalam keadaan selamat pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, Nur Fakhira Dania dijumpai bersembunyi di rumah nenek rakan lelakinya di Kampung Datuk Abdul Rahman Yassin di sini.
"Sekitar jam 8 malam pada 12 Februari lalu, pelajar ini keluar bersama rakan lelakinya dan melahirkan hasrat untuk lari dari rumah.
"Susulan itu, rakan membawa dia (Nur Fakhira Dania) ke rumah neneknya (lelaki terbabit) dan tinggal selama kira-kira seminggu,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.
Sebelum itu, Sinar Bestari melaporkan kehilangan Nur Fakhira Dania menerusi artikel bertarikh 19 Februari.
Ibu pelajar berkenaan, Norita Kasmin berkata, anaknya merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan kehilangannya dikatakan dipengaruhi oleh seseorang.
"Saya merayu agar anak kelima daripada enam beradik ditemui dengan segera.
"Pulangkanlah anak saya...dia masih remaja dan perlu belajar demi masa hadapannya," ujarnya.