Sistem pendidikan yang semakin mencabar menyebabkan para pelajar berdepan dengan silibus sekolah yang kian padat dan kompleks.
Beban akademik secara tidak langsung memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental terutama mereka yang perlu menguasai pelbagai subjek dalam tempoh singkat.
Disebabkan itu, tuisyen atau kelas tambahan berbayar menerima permintaan tinggi berikutan ibu bapa melihat kekurangan dari segi tumpuan anak-anak dalam kelas.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Semenanjung Malaysia (Kongres), Mohd Azizee Hasan mengakui bahawa silibus berat di sekolah menyebabkan ada impak dan kesan terhadap pelajar.
Katanya, susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan kurikulum baharu 2027 yang mana akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun tersebut.
"Satu usaha untuk merevolusikan dan menambah baik sistem pendidikan di negara ini.
"Ia juga agar KPM mampu menangani isu silibus berat dan padat itu,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.
Mohd Azizee berkata, walaupun sistem pendidikan sedia ada sudah mencukupi, namun bagi sesetengah keadaan pelajar gagal mengadaptasi cara belajar di sekolah dengan kuantiti pelajar yang ramai.
Ujarnya lagi, ia berkemungkinan jumlah pelajar dalam kelas tidak bersesuaian dengan persekitaran sekolah yang sudah lama.
Ia boleh mengakibatkan pelajar tidak selesa atau kurang fokus apabila guru memberi pendedahan tentang sesuatu topik.
Reaksi
"Mengenai ibu-bapa menghantar anak untuk menajamkan penguasaan terhadap sesuatu subjek di pusat tuisyen, itu adalah pilihan peribadi. Kurikulum pembelajaran yang disediakan di sekolah sudah cukup mengikut piawaian kebangsaan. Sekiranya ibu-bapa ingin beri sokongan tambahan, itu terpulang kepada mereka.”
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
"Bagi saya, tuisyen adalah pelengkap kepada apa yang diperolehi anak-anak semasa belajar dalam bilik darjah. Kurikulum yang
diberikan di sekolah adalah ansur maju peningkatan yang terkait dengan peringkat umur, kematangan dan kebolehan prestasi anak-anak.”
- Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
"Saya melihat tuisyen atau kelas tambahan berbayar sebagai satu pelaburan untuk memastikan anak-anak mendapat bimbingan
tambahan dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Persaingan akademik yang semakin tinggi juga menyebabkan ramai ibu bapa memilih tuisyen sebagai langkah untuk meningkatkan pencapaian anak masingmasing.”
- Ibu yang juga penjawat awam, Siti Mariam Che Omar.
"Tuisyen itu penting juga kerana ia membantu kami yang sukar memahami setiap topik di sekolah, sekali gus memberikan maklumat yang lebih banyak dengan cara betul.”
- Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting, Akmal Wafiq Jamaludin, 15.
Saya rasa tuisyen ada kebaikan yang tersendiri kerana seseorang pelajar memerlukan medium lain untuk memahami sesuatu
topik atau subjek itu. Ia mungkin dalam kelas saya sukar fokus, namun tuisyen memberi kelebihan dengan tip menjawab dalam
peperiksaan. Tuisyen ini tidak wajib tetapi bergantung dengan keperluan diri sendiri.”
- Pelajar SMK Khir Johari, Rieni Aireen Qistina Rhymizafri, 16.