Kematian pensyarah Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin, Hamdan Sulaiman dalam satu kemalangan pada Selasa, mengejutkan ramai.
Paling terkesan adalah rakan-rakan sefakulti Allahyarham yang menyifatkan pemergian Hamdan terlalu cepat apatah lagi arwah baru sahaja berusia 34 tahun.
Sahabat baik Allahyarham dikenali Ts Dr Mohd Khairy Zahari meluahkan rasa sebak dengan kematian Hamdan.
Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin dilihat sangat terkejut dengan kehilangan rakan baiknya itu.
"Saya terima berita ketiadaan Allahyarham melalui warga fakulti (Fakulti Perladangan dan Agroteknologi).
"Terkejut, tak percaya dan terpinga-pinga bila mendengar Hamdan telah tiada sedangkan saya baru sahaja berjumpa dengannya Jumaat lepas," katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.
Terdahulu, Hamdan meninggal dunia dalam nahas jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggangnya dengan sebuah lori di Jalan Dato Mulia pada Selasa.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Bulatan Scientex Serkam menuju ke Bukit Kepok sebelum bertembung dengan sebuah lori yang sedang membuat pusingan U.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang berada di belakang tidak sempat membrek sebelum merempuh bahagian sisi kanan lori berkenaan.
"Akibat pelanggaran itu, Hamdan tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," ujarnya.
Mohd Khairy berkata, Allahyarham seorang rakan yang sangat baik, suka membantu tanpa mengira masa dan berkepakaran dalam bidang iot in agriculture dan agriculture automation.
Ujarnya, arwah turut bergiat aktif dalam penyelidikan dan projek komuniti serta penyumbang terbesar dalam Center for Strategic Planning and Information (CSPI) Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.
"Cepat 'dia' pergi...sedangkan kami masih memerlukan idea, khidmat dan kepakaran beliau untuk projek-projek pendidikan.
"Tapi begitulah...jodoh, ajal, maut semua kerja ALLAH," kata Mohd Khairy.
Sementara itu, Mohd Khairy berkata, satu kunjungan ke rumah waris telah berlangsung pada Rabu bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada keluarga mangsa.
Sumbangan hasil kutipan warga Fakulti Perladangan dan Agroteknologi dan UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin adalah bertujuan meringankan beban mereka setelah kehilangan ahli keluarga tercinta.