Menjadi imam tarawih merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Ia bukan sekadar satu tugas, tetapi juga satu tanggungjawab besar yang menuntut ilmu, keikhlasan dan kesabaran dalam memimpin jemaah beribadah kepada ALLAH SWT.
Bagi Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Syafiq Haikal Safie, dipilih sebagai imam tarawih merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Katanya, pengalaman itu mengajar dia tentang tanggungjawab, kesabaran dan keikhlasan dalam setiap ibadah.
"Saya juga menyedari bahawa walaupun kita berada di posisi memimpin, hakikatnya kita turut dipimpin oleh rasa tanggungjawab kepada ALLAH dan amanah terhadap jemaah," kata pelajar Sarjana Muda Komunikasi, UUM.
Menurut Muhammad Syafiq Haikal yang kini menjadi iman tarawih di UUM dan Surau Al-Falah Kampung Paya Nongmi, Changlun, Kedah, ini bukanlah kali pertama dia menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai imam.
Sebelum ini, dia pernah menerima tawaran sebagai imam tarawih di Masjid Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu pada 2018 ketika bergelar pelajar Tahfiz di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Setiu (SM Imtiaz YT Setiu) 2016.
Sejak itu, Muhammad Syafiq Haikal bergiat aktif sebagai imam jemputan dan menerima banyak undangan untuk mengimamkan solat di sekitar daerah Besut dan Setiu.
Berkat usaha dan komitmennya, dia akhirnya berjaya terpilih sebagai imam masjid bagi daerah tersebut.
"Saya pernah bertugas di Masjid Lapan Kubah pada 2022, diikuti Masjid Bandar Jertih dan Masjid Nasiruddin Shah 2024.
"Malah, saya juga bergiat aktif dalam bidang nasyid, pernah menjadi vokalis dan kini berperanan sebagai jurulatih nasyid di SM Imtiaz YT Setiu," ujarnya.
Sementara itu, Eksekutif Pembangunan Insaniah dan Perpaduan Mahasiswa, MPP UUM, Muhammad Zahid Ahmad Termizi menyifatkan pemilihannya sebagai imam tarawih sebagai satu pengalaman yang amat bermakna dan peluang berharga dalam mengasah kepimpinan rohani serta memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat.
Katanya, niat utama menjadi imam hanyalah untuk memberi sumbangan bermakna kepada semua orang.
"UUM mendidik kami bukan sahaja memfokuskan kepada akademik sahaja sebaliknya perlu prihatin dengan keperluan masyarakat sekitar sekali gus menonjolkan peranan mahasiswa dalam masyarakat," ujar pelajar Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa merangkap alumni Maahad Tahfiz Alhidayah, Behrang, Perak.