Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru sahaja mengumumkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Menerusi pelaksanaan yang bermula 21 April depan secara berperingkat, KPM telah mengeluarkan satu garis panduan bagi memberikan penjelasan tentang tatacara pemakaian lencana itu.
Pada masa yang sama, garis panduan tersebut turut menjadi rujukan bagi pegawai bahagian di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), institusi pendidikan, ibu bapa, penjaga, dan murid mengenai perkara tersebut.
Di sini, Sinar Bestari berkongsi sebahagian isi kandungan garis panduan yang telah disenaraikan oleh KPM.
Lencana Jalur Gemilang merujuk kepada spesifikasi yang ditetapkan dalam garis panduan ini.
Reka bentuk Jalur Gemilang hendaklah merujuk kepada Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994: Pengibaran Bendera Malaysia di Bangunan-bangunan Persekutuan di Seluruh Negara bertarikh 13 April 1994.
Manakala pakaian seragam merujuk kepada peraturan pakaian seragam murid-murid sekolah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-murid Sekolah bertarikh 9 Mac 1983.
Tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid
Tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid merupakan perkara penting yang perlu dipatuhi oleh setiap murid.
Perkara ini bertujuan untuk memastikan lencana Jalur Gemilang dipakai dengan penuh rasa hormat dan mengikut garis panduan berkenaan.
Berikut adalah tatacara pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid:
1) Kedudukan lencana
Lencana Jalur Gemilang hendaklah dipakai pada bahagian kanan dada selari dengan kedudukan tanda nama murid.
Lencana ini harus dipakai secara seragam oleh semua murid bagi menunjukkan kesamarataan dan kebersamaan serta kebanggaan terhadap negara.
2) Jenis pakaian
Lencana Jalur Gemilang dipakai pada pakaian seragam murid seperti baju prasekolah, baju kemeja, baju kurung, pinafore tunic, tudung, baju Melayu, pakaian sukan, pakaian batik, pakaian seragam unit beruniform, pakaian seragam khas dan baju korporat kolej vokasional.
3) Pemakaian lencana Jalur Gemilang
Lencana Jalur Gemilang harus dipakai dengan kemas, bersih dan tidak rosak.
Jika pudar atau rosak perlu diganti dengan lencana yang baharu. Hal ini bagi memastikan lencana Jalur Gemilang dipertahankan dalam keadaan baik.
4) Peraturan pemakaian
Pemakaian lencana Jalur Gemilang ini adalah untuk menunjukkan rasa hormat terhadap negara dan Jalur Gemilang.
Oleh itu, lencana Jalur Gemilang tidak boleh dipakai sewenang-wenangnya atau diletakkan pada pakaian yang tidak sesuai.
Murid juga tidak dibenarkan untuk membuat perubahan pada lencana seperti mengubah kedudukan, saiz, bentuk atau warnanya.
5) Etika pemakaian
Kemas dan sopan: Pemakaian lencana Jalur Gemilang mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan tidak boleh dipakai dalam keadaan kotor, rosak atau tidak terurus.
Tidak dilekatkan pada pakaian lain: Lencana Jalur Gemilang tidak boleh digabungkan dengan aksesori lain atau dihias dengan cara yang boleh menjejaskan maruah simbol kebangsaan tersebut.
6) Penjagaan lencana Jalur Gemilang
Lencana Jalur Gemilang harus dijaga dengan baik, sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak lusuh. Jika lencana Jalur Gemilang telah rosak atau hilang, murid perlu menggantikannya dengan lencana Jalur Gemilang yang baharu.
Akhir sekali, KPM sentiasa komited dalam memupuk semangat patriotisme dalam diri semua warga KPM khususnya murid.
Inisiatif ini juga diharap dapat mewujudkan pengetahuan dan kecintaan terhadap Malaysia dalam jiwa generasi muda kini.