Dalam era pendidikan digital dan penggunaan teknologi yang pesat, golongan pensyarah dan pelajar kini berdepan cabaran baharu yang jarang dibincangkan secara mendalam — isu keselamatan dan privasi data peribadi.
Saban hari, data pelajar seperti nama, nombor kad pengenalan, emel dan lokasi digunakan dalam sistem pembelajaran, pendaftaran kursus serta pelbagai aplikasi sokongan akademik. Begitu juga pensyarah yang menggunakan platform digital untuk pengurusan kelas, penyimpanan tugasan dan komunikasi maya. Namun, sejauh manakah kita benar-benar melindungi data tersebut?
"Kebanyakan pelajar dan juga pendidik tidak menyedari bahawa maklumat yang mereka kongsi dalam talian boleh dimanipulasi sekiranya tiada kesedaran dan kawalan keselamatan,” ujar Pensyarah Siber Sekuriti Politeknik Seberang Perai, Nur Wahida Janudin.
Kesedaran masih rendah
Walaupun terdapat dasar seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), kesedaran dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi masih boleh dipertingkatkan. Ada pensyarah yang menggunakan aplikasi tidak rasmi untuk tugasan dan pelajar pula sering berkongsi maklumat peribadi dalam talian tanpa memahami risiko siber.
Kajian ringkas oleh sebuah politeknik tempatan mendapati hampir 65 peratus pelajar tidak tahu fungsi tetapan privasi dalam akaun pembelajaran digital, manakala hampir separuh pensyarah belum pernah mendapat latihan khusus berkaitan keselamatan data akademik.
Peranan institusi pendidikan
Politeknik dan institusi TVET lain disaran menyediakan modul atau bengkel berkaitan etika digital, keselamatan siber, dan pengurusan data bagi kedua-dua pihak — pelajar dan pensyarah. Ini penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran digital berlangsung dengan lebih selamat dan bertanggungjawab.
Pensyarah juga perlu menjadi contoh kepada pelajar dalam mengamalkan sikap berhati-hati ketika mengendalikan maklumat pelajar, terutamanya ketika menggunakan platform awan, sistem pengurusan pembelajaran (LMS) dan emel rasmi.
Langkah proaktif
Beberapa langkah asas yang boleh diambil termasuk:
- Menggunakan platform rasmi institusi sahaja untuk tugasan dan komunikasi.
- Memastikan dokumen penting disimpan dalam medium yang selamat (berkata laluan).
- Mengajar pelajar tentang phishing, spam dan penipuan digital yang sering berlaku dalam kalangan pelajar IPT.
Di sebalik kecanggihan teknologi yang merentas bilik kuliah, terdapat keperluan mendesak untuk menjadikan literasi digital sebagai satu komponen asas dalam pembangunan akademik masa kini. Golongan pendidik dan pelajar perlu berganding bahu, bukan sekadar untuk memanfaatkan teknologi, tetapi juga melindungi hak dan keselamatan digital masing-masing.
Maklumat penulis:
Pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat, Politeknik Seberang Perai, Dr Nurul Ihsaniah Omar
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my