"Saya mengucapkan tahniah kepada Tomok, Amerul Affendi dan Zulkifli Ismail kerana memilih UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) sebagai pilihan untuk mengukuhkan pengalaman akademik mereka."
Demikian kata Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff ketika dihubungi Sinar Bestari.
Beliau berkata, UPSI sememangnya mempunyai ramai pakar industri yang menjadi pensyarah dalam pelbagai bidang.
"Pengalaman luas para pensyarah yang pernah bergiat aktif dalam industri menjadikan sesi pembelajaran lebih hidup, relevan dan praktikal sekali gus memberi kelebihan besar dalam menjalin hubungan dua hala antara dunia akademik dan realiti industri sebenar.
"Maka tidak hairanlah UPSI terus menjadi pilihan mereka yang mahu melangkah lebih jauh dalam dunia ilmu," ujarnya lagi.
Perkongsian menarik diberikan Md Amin ini berikutan penyanyi terkenal negara, Tomok yang memilih UPSI bagi mengikuti program Sarjana Pengajian Persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan secara sepenuh masa.
Beliau yang baru sahaja mendaftar di universiti itu pada Selasa, telah menerima kad siswa, menghadiri orientasi dan melawat ke beberapa bangunan pengajian sebelum memulakan pengajian.
Mengulas lanjut mengenai Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), Md Amin berkata, ia merupakan inisiatif murni kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi ( KPT) sebagai usaha memberi pengiktirafan kepada individu yang memiliki pengalaman luas dalam sesuatu bidang profesional khususnya seperti bidang seni, tanpa melalui laluan akademik konvensional.
Selaras dengan semangat Pembelajaran Sepanjang Hayat, ujar beliau, APEL membuka peluang lebih luas kepada para penggiat seni untuk memperkukuh kedudukan akademik mereka tanpa perlu bermula dari awal.
"Di UPSI, APEL mendapat sokongan penuh kerana universiti ini sendiri memiliki ramai pensyarah berpengalaman dan berstatus pakar dalam bidang seni persembahan.
"Mereka bukan sahaja berkongsi ilmu secara teori dan praktis, malah turut terbabit secara langsung dalam industri melalui penglibatan pementasan, produksi, penyelidikan seni serta kolaborasi kreatif.
"Gabungan antara pengalaman industri dan kepakaran akademik ini menjadikan UPSI tempat yang ideal untuk mereka yang mahu mengembangkan ilmu, menyambung pengajian atau menambah nilai kepada kerjaya seni masing-masing,” ujarnya lagi.
Terdahulu, UPSI ditubuhkan pada 1 Mei 1997 di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.
UPSI yang terletak di Tanjung Malim, Perak, mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang bitara dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.
Universiti ini begitu komited untuk membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.