Sempena kemeriahan Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 yang berlangsung di Masjid Kampung Menerong hari ini, satu lagi lembaran baharu tercatat buat komuniti setempat apabila Universiti Malaysia Terengganu (UMT) secara rasmi mengumumkan pengiktirafan Kampung Menerong, Terengganu sebagai Kampung Angkat Madani UMT.
Pengiktirafan berkenaan seiring usaha kerajaan memperkukuh pembangunan luar bandar secara inklusif menerusi Program Kampung Angkat Madani (KAM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 lalu.
Menurut Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital), Profesor Dr Noor Maizura Mohamad Noor, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan pelbagai projek naik taraf infrastruktur dan pembangunan komuniti di kampung berkenaan.
"Usaha ini sejajar dengan misi merapatkan jurang desa-bandar secara menyeluruh, selaras semangat Madani yang mengangkat nilai kemasyarakatan dan pembangunan lestari,” katanya.
Menariknya, hubungan erat antara kedua-dua pihak berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu.
Ini kerana, pelbagai program berimpak tinggi berasaskan komuniti telah dilaksanakan sebelum ini dan menjadi bukti komitmen berterusan universiti dalam menjayakan kolaborasi strategik bersama masyarakat.
Antara inisiatif utama ialah Projek Penternakan Kelulut, yang membuka peluang pendapatan baharu kepada penduduk menerusi penghasilan produk hiliran berasaskan madu kelulut.
Malah, penubuhan Galeri Kelulut Kampung Menerong kini menjadi pusat tumpuan komuniti dan platform promosi produk tempatan.
Selain itu, Projek CBT Little Amazon turut diperkenalkan untuk mengetengahkan potensi ekopelancongan kawasan tersebut.
Pendekatan pelancongan berasaskan komuniti berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan alam sekitar, malah turut merancakkan ekonomi setempat secara mampan.
Lebih membanggakan, penduduk Kampung Menerong juga diberi ruang untuk memperluaskan pasaran produk menerusi pelbagai program dan karnival anjuran UMT.
Noor Maizura berkata, ia bukan sekadar peluang perniagaan, namun menjadi landasan untuk mereka mempelajari kemahiran baharu dalam komunikasi, pemasaran dan pembinaan keyakinan diri.
Pada masa sama, keterlibatan aktif pelajar UMT turut menyerlahkan nilai kesukarelawanan yang diterapkan universiti dalam melahirkan graduan berjiwa masyarakat.
"UMT dan Menerong sentiasa di jiwa. Inilah semangat gotong-royong dan kebersamaan yang ingin kita semarakkan dalam menjayakan agenda MADANI,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Zainuddin Mohd berkata, pemilihan kampung itu sebagai Kampung Angkat Madani UMT adalah satu penghormatan besar buat seluruh penduduk.
"Semoga dengan kehadiran UMT, pembangunan Kampung Menerong akan lebih ke hadapan, bukan sahaja dari sudut sosio ekonomi, tetapi juga pendidikan anak-anak akan terus berkembang,” katanya.
Pengiktirafan itu bukan hanya satu simbolik, malah membawa harapan besar terhadap pembangunan mapan yang berpaksikan ilmu, jati diri dan kesejahteraan bersama.
Kampung Menerong kini berada di landasan tepat untuk menjadi contoh kejayaan sebenar kolaborasi universiti-komuniti dalam kerangka Malaysia Madani.