Kumpulan tarian Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) akan mewakili Malaysia dalam 33rd International Competition 'Etoiles De Paris' di Perancis pada 28 April hingga 10 Mei depan.
Mereka yang terpilih terdiri daripada empat pelajar iaitu Adriana Nur Alya Qistina Mohd Uyub, 14; Putri Diana Ellysa Zainol Abidin, 14; Nur Amna Qaleesya Mohd Razlan, 15 dan Emmylis Damia Azuan, 15.
Manakala Pengetua SSeMKL, Siti Dewi Marsitah Ismail turut serta dalam rombongan itu selaku guru pengiring.
Pasukan tersebut dijangka berlepas pada 28 April jam 10 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian akan turut hadir bagi mengiringi pelepasan rombongan SSeMKL.
Diharapkan kehadiran wakil Malaysia di pentas antarabangsa ini mampu mengharumkan nama negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang kaya dengan tradisi seni dan budaya.
Sementara itu, Siti Dewi Marsitah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan tarian sekolah yang telah melangkah setapak lebih jauh dengan menyertai pertandingan tarian antarabangsa itu.
Katanya, ia bukan sahaja satu pencapaian yang membanggakan, tetapi juga lambang usaha gigih, disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan anak-anak pelajar.
"Sebagai Pengetua, saya amat berbangga melihat bakat dan potensi pelajar-pelajar kita diketengahkan di peringkat antarabangsa.
"Ini membuktikan bahawa sekolah bukan hanya medan menimba ilmu, tetapi juga tempat menggilap keistimewaan dan kecemerlangan sahsiah diri," katanya kepada Sinar Bestari.
Menurutnya lagi, kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada semua pihak, khususnya ibu bapa yang memainkan peranan besar di sebalik tabir.
Mereka bukan sahaja memberikan galakan moral yang berterusan, malah turut membantu dari segi persediaan latihan serta keperluan harian anak-anak sepanjang tempoh latihan dan persiapan pertandingan.
Berkongsi tentang harapan Siti Dewi Marsitah mengharapkan pasukan itu bukan sahaja membawa pulang kejayaan, tetapi lebih penting membawa nama baik sekolah, negeri dan negara dengan penuh etika, sopan santun dan semangat kesatuan.
"Biarlah setiap langkah tarian berkenaan membawa mesej perpaduan, kebudayaan dan keindahan warisan bangsa kita.
"Kami semua di sini menyokong sepenuh hati dan mendoakan agar kejayaan akan berpihak kepada kalian. Ingatlah, menang bukan segala-galanya tetapi keberanian untuk mencuba, itu adalah permulaan kepada segala impian. Teruskan melangkah, teruskan menari, dan teruskan mengharumkan nama sekolah. Vibrant Versatile," ujar beliau.
Untuk info, penganjuran 33rd International Competition ‘Etoiles De Paris' bertujuan mencari penghibur dan penari muda yang berbakat besar dalam bidang seni.
Ia turut menekankan kepelbagaian budaya dan nilai sejagat seperti hormat-menghormati, kreativiti dan persefahaman antara negara.
Acara ini juga memberi peluang kepada peserta mempamerkan keunikan tradisi masing-masing di hadapan penonton antarabangsa di Paris.
Melalui penyertaan berkenaan, guru dan pelajar bukan sahaja didedahkan kepada pengalaman antarabangsa, malah berpeluang memupuk semangat jati diri dan cintakan tanah air.
Ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan nilai kesatuan, keadilan dan identiti nasional yang progresif.