Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) merujuk kepada sistem pendidikan yang mengutamakan kemahiran praktikal, teknikal dan vokasional yang diperlukan dalam pelbagai bidang industri seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, automotif, hospitaliti, pertanian dan banyak lagi.
Dalam usaha melahirkan graduan TVET yang benar-benar bersedia menghadapi alam pekerjaan, penyediaan peralatan dan kemudahan latihan yang setaraf dengan industri amatlah penting.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Norshah Aizat Shuaib berkata, pelajar TVET biasanya menjalani latihan di bengkel, makmal atau melalui program latihan industri bersama syarikat-syarikat yang relevan.
Katanya, tanpa sokongan peralatan moden dan berteknologi tinggi, proses pembelajaran mungkin tidak mencerminkan realiti sebenar di tempat kerja.
"Institusi TVET kini giat memperkasakan fasiliti masing-masing agar seiring dengan keperluan semasa industri.
"Ia bukan sahaja meningkatkan kualiti latihan, malah memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap persekitaran kerja sebenar.
"Inisiatif ini membuktikan komitmen negara mampu melahirkan tenaga mahir bertaraf global,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Ditanya tentang kebolehpasaran graduan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, Norshah Aizat memaklumkan bahawa permintaan bekas pelajar universiti berkenaan semakin meningkat.
Menariknya, kebolehpasaran pelajar dalam bidang TVET terus menunjukkan peningkatan positif apabila mencatatkan 98.9 peratus pada tahun 2024, berbanding 97.7 peratus pada tahun sebelumnya.
Ia membuktikan bahawa graduan TVET semakin mendapat tempat dalam pasaran kerja, sekali gus mengukuhkan peranan TVET sebagai laluan pendidikan yang relevan, praktikal dan berimpak tinggi dalam melahirkan tenaga mahir negara.
Kelebihan UniMAP
Disebabkan kebolehpasaran meningkat, UniMAP mengambil inisiatif untuk membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada pelajar tempatan mahupun luar.
Norshah Aizat berkata, ia berdasarkan keperluan di industri selaras dengan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030.
"Jadi, segala ilmu yang diperoleh dalam program TVET UniMAP adalah selari dengan kehendak semasa dunia pekerjaan.
"Ia membolehkan kemahiran graduan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Tambah Norshah Aizat, sebagai universiti teknikal, UniMAP mempunyai kelebihan kerana penekanan yang tinggi kepada latihan kemahiran, maka sangat sesuai untuk menawarkan program TVET.
"Tidak semua institusi berpeluang mempunyai kelengkapan, fasiliti atau tenaga pengajar yang sesuai untuk jalankan program TVET,” katanya.
Lebih menarik, program TVET meliputi program teknologi dan teknologi kejuruteraan, yang mana penekanan diberikan kepada aspek praktikal berbanding teori.