Pelajar cemerlang SPM 9A akhirnya dapat kad pengenalan selepas lebih 5 tahun menanti

Iklan
Saifuddin (tiga dari kanan) menyerahkan kad pengenalan kepada Nurul Arini sambil diperhatikan oleh Norini (dua dari kiri) di rumah mereka di Port Dickson pada Isnin.

Selepas lebih lima tahun menanti, seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Port Dickson, Negeri Sembilan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila permohonannya mendapatkan kad pengenalan diterima.

Ia sekali gus membuka jalan untuk Nurul Arini Abdullah, 18, menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi selepas berjaya memperoleh 9A (7A+ dan 2A) dalam peperiksaan SPM lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kali pertama ibu angkatnya membuat permohonan mendapatkan kad pengenalan pada tahun 2013, namun dia dimaklumkan permohonan tersebut ditolak pada 2015.

"Kemudian pada tahun 2018 ibu saya buat permohonan kali kedua dan telah mendapat perakuan lulus oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun 2023.

Iklan

"Alhamdulillah, akhirnya saya dapat kad pengenalan hari ini dan saya bersyukur sangat. Terima kasih kepada pihak yang menolong saya," katanya ditemui pemberita selepas menerima kad pengenalan disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di rumahnya di Kampung Bukit Tembok di sini pada Isnin.

Nurul Arini berkata, dengan adanya kad pengenalan, ia akan memudahkan dirinya menyambung pengajian di universiti tempatan.

Iklan

Ini kerana katanya, satu permohonan telah dibuat di UPUOnline untuk menyambung pengajian di Pusat Asasi Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) namun tidak diterima.

"Pilihan pertama saya adalah sambung belajar di UIAM tapi bila saya nak buat kemas kini borang, saya tengok ia tiada dalam senarai pilihan.

"Bila saya tengok semula syarat khas kemasukan, perlu bumiputera sedangkan dalam sijil kelahiran saya ditulis keturunan Indonesia," katanya.

Ujarnya, memandangkan dia telah pun mempunyai kad pengenalan biru, dia akan membuat rayuan untuk menyambung pengajian di situ.

Tambahnya, dengan keputusan SPM yang cemerlang, dia berharap rayuannya diterima sekali gus merealisasikan cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.

"Saya nak balas jasa mak dan arwah ayah saya yang telah pun meninggal dunia pada tahun 2016 akibat strok.

"Saya diambil mak dan arwah ayah sebagai anak angkat sejak lahir dan kini tiba masanya saya membalas jasa mereka," katanya.

Ibu angkatnya, Norini Basir, 61 berkata, selama ini dia risau akan masa depan Nurul Arini yang tiada kad pengenalan.

Malah katanya, disebabkan ketiadaan kad pengenalan, anaknya terlepas banyak peluang selain perlu membayar levi bagi membolehkan anaknya belajar di sekolah aliran perdana.

Bagaimanapun katanya, hatinya kini lega kerana semuanya telah berakhir dan berharap cita-cita anaknya menjadi seorang doktor akan tercapai suatu hari nanti.

Sementara itu Saifuddin berkata, Nurul Arini merupakan antara 6,908 daripada 12,101 permohonan berhubung dokumen pengenalan diri yang telah pun diambil tindakan.

"Dasar kita jelas iaitu membantu permudahkan mereka memiliki dokumen pengenalan diri kerana lahir di sini.

"Apa pun status mereka, komitmen KDN permudahkan urusan selepas mereka melalui semua proses tapisan," katanya.