Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu, Sarawak terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila dua pasukannya berjaya merangkul pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan dan Inovasi Antarabangsa (I3C) 2025 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur.
Dua projek inovatif itu yang berjaya menambat hati juri terdiri daripada Drabeena Lip Balm iaitu produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi dan Arraga: The Insect Repellent Joss Stick (penghalau serangga mesra alam dalam bentuk colok tradisional).
Kedua-dua projek tersebut dibimbing oleh guru Sains berdedikasi, Cikgu Nur Fatihah Robina Abdullah, yang menjadi tunjang kejayaan pasukan sejak awal penyelidikan sehingga ke pentas pertandingan.
Menurut beliau, pencapaian tersebut membuktikan bahawa pelajar dari kawasan luar bandar juga berpotensi tinggi untuk bersaing setanding dengan rakan-rakan mereka di peringkat antarabangsa.
"Kejayaan ini lahir daripada kesungguhan, semangat kerja berpasukan dan bimbingan yang konsisten," ujarnya.
Salah seorang pelajar, Julius Mikhael berkata, kejayaan berkenaan menjadi titik tolak penting dalam hidup.
"Kami (pasukan) gementar pada mulanya, tapi sokongan guru, rakan dan sekolah buatkan kami yakin. Ia pengalaman yang tak mungkin kami lupakan," ujarnya.
Sementara itu, Pengetua SMK Lundu, Mohammad Azizan Madihi, turut menzahirkan penghargaan terhadap kejayaan pasukan dan menekankan komitmen sekolah dalam memupuk budaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi dan pemikiran kreatif.
"Kejayaan ini memberi mesej jelas bahawa pendidikan bukan sekadar akademik. Ia juga tentang menjana idea baharu dan membentuk pelajar yang berani meneroka," jelas beliau.
Kami di Sinar Bestari ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga SMK Lundu atas kejayaan membanggakan di pentas I3C 2025.
Semoga SMK Lundu terus mencipta lebih banyak kejayaan dan menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
Terdahulu, pertandingan I3C 2025 bukan sekadar platform pamer ciptaan, tetapi turut menjadi medan untuk pelajar mencabar kemampuan diri dan mengangkat nama sekolah ke tahap yang lebih tinggi.