PhD di usia emas, pengiktirafan Bapa Seni Bina Negara

Iklan
Dr Kamaliah

Konvokesyen ke-101 UiTM rakam detik bersejarah dua tokoh unggul

Siapa kata usia emas hanya untuk berehat? Seorang nenek kepada 14 cucu membuktikan bahawa impian tetap boleh dicapai walaupun di usia 68 tahun.

Dengan semangat luar biasa dan keazaman yang tidak pernah luntur, Dr Kamaliah Md Saman berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Farmasi Klinikal sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-101, baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Saya akui memang sukar. Bila sudah lama tinggalkan dunia belajar, teknologi berubah begitu cepat. Aspek seperti penggunaan IT sangat mencabar tetapi saya tidak malu bertanya pada pelajar muda dan rakan sekerja,” kata Dr Kamaliah yang juga pensyarah di Fakulti Farmasi, UiTM Shah Alam sejak lapan tahun lalu.

Lebih mencabar, beliau bukan sahaja bergelar pelajar, malah turut memikul tanggungjawab sebagai pendidik.

Iklan

"Siang hari saya mengajar, malam pula saya perlu siapkan tugasan dan ulangkaji pelajaran. Ia bukan mudah, tapi saya anggap ini satu jihad ilmu yang sangat berharga,” ujarnya.

Kejayaan Dr Kamaliah menjadi simbol bahawa umur bukan penghalang untuk mencapai cita-cita. Kisahnya memberi inspirasi kepada masyarakat bahawa tiada istilah ‘terlambat’ dalam menuntut ilmu.

Iklan

Sumbangan luar biasa

UiTM mengiktiraf sumbangan tokoh seni bina negara, Hijjas Kasturi, dengan penganugerahan Profesor Emeritus sekali gus penghormatan tertinggi dalam dunia akademik.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101, sebagai tanda penghargaan kepada Hijjas, 88, yang banyak mencorakkan landskap seni bina negara.

Menyingkap kisah silamnya, Hijjas akui kemiskinan yang dialami sewaktu kecil menjadi dorongan kuat untuk berjaya.

Hijjas

"Kemiskinan menjadi pemangkin semangat saya. Saya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne, Australia, seterusnya memperoleh diploma dalam perancangan bandar dan wilayah,” katanya.

Beliau juga menerima pelbagai Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada institusi ternama seperti University of Adelaide, University of Melbourne dan Universiti Malaya.

Lebih membanggakan, Hijjas merupakan pengasas dan Ketua Pengajian pertama Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM, yang dahulunya dikenali sebagai School of Art and Architecture sejak tahun 1967.

Antara karya ikoniknya termasuk Menara Maybank, Menara Telekom dan Kompleks Haji Sepang yang bukan sahaja berfungsi tetapi menjadi simbol kebanggaan negara.

Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Zarinah Anwar menyampaikan anugerah berprestij itu kepada Hijjas Kasturi.

"Saya masih aktif melukis sehingga kini dan hasil lukisan saya dijual sebagai karya seni. Minat saya terhadap seni memang tidak pernah pudar,” jelasnya lagi.

Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, malah penghormatan kepada seorang tokoh yang membuka jalan kepada ramai arkitek muda dan menjadi tunjang penting dalam pembangunan pendidikan tinggi Bumiputera.