Seramai 122 murid daripada lima buah sekolah sekitar Zon Parit, Perak menyertai Kem Kepimpinan dan Jati Diri Gabungan Projek Sekolah Lestari di Pusat EKO Pelajaran Matang, Kuala Sepetang, Perak baru-baru ini.
Sekolah-sekolah yang terlibat terdiri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Parit (peneraju jawatankuasa induk), SK Iskandar Shah, SK Tanjung Belanja, SK Chopin dan SK Simpang Tiga.
Menurut Guru Besar SK Parit, Cikgu Hamzah Zakaria, kira-kira 25 guru pembimbing turut serta dalam kem berkenaan sekali gus mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti menarik yang telah dirancang sepanjang program tersebut.
Katanya, Kem Kepimpinan dan Jati Diri Gabungan Projek Sekolah Lestari itu mampu memupuk keberanian, semangat kepimpinan ketika meneroka serta menghargai alam sekitar.
Beliau menambah, penglibatan aktif dalam aktiviti seperti sesi ice breaking, permainan dalam kumpulan dan kursus kepimpinan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara peserta, malah turut membina keyakinan diri, semangat kerjasama dan kemahiran berkomunikasi yang amat penting dalam pembentukan sahsiah seorang pemimpin muda.
Setiausaha program, Ustazah Noor'Asyikin Zawawil Anwar berkata, program bermatlamat untuk menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar, selari dengan usaha membentuk kepimpinan melalui teladan dan pengalaman secara langsung.
Ujarnya, pendekatan yang digunakan dalam program ini bukan hanya tertumpu kepada aspek teori, tetapi lebih kepada pembinaan nilai dan kesedaran melalui aktiviti berimpak tinggi yang dilaksanakan dalam suasana semula jadi.
"Apabila murid didedahkan secara langsung kepada keindahan dan kepentingan alam sekitar melalui aktiviti seperti penerokaan hutan, pengurusan kebersihan serta aktiviti berkumpulan, mereka akan lebih menghargai alam dan menyedari peranan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab," jelasnya.
Sementara itu, peserta, Muhammad Faris Azhar berkongsi rasa gembira apabila berpeluang menyertai program yang sangat bermanfaat.
"Menerusi kem ini, saya dapat mengenali tiga spesies bakau yang ada di Malaysia iaitu Pokok Bakau Minyak, Pokok Bakau Kurap dan Pokok Bakau Api-Api.
"Kemudian, saya dan rakan lain diberi peluang menanam anak pokok bakau di tapak semaian disediakan," katanya.
Dalam pada itu, penceramah kursus, Suhaimi Sujairy turut memuji sikap proaktif dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang kursus kepimpinan berlangsung.
"Mereka bukan sahaja memberi kerjasama penuh dalam setiap aktiviti, malah turut menunjukkan minat yang mendalam untuk belajar.
"Sikap ini amat penting dalam proses pembentukan pemimpin muda yang berkarisma dan beretika.
"Mereka dilihat berani mengemukakan pendapat, bertanya soalan yang relevan serta terlibat secara aktif dalam perbincangan," katanya yang juga Kaunselor Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Perak Tengah.