Membangunkan inovasi berimpak besar bukanlah satu perkara mudah apatah lagi jika melibatkan kajian lapangan, pembangunan sistem dan pemikiran luar kotak.
Namun, bagi pasangan kembar dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak, segala cabaran itu ditempuh dengan penuh semangat dan kesungguhan luar biasa tanpa mengenal erti putus asa.
Anas Rayyan Shaifuddin dan Amir Rayyan Shaifuddin, dua pelajar Tingkatan Tiga dari MCKK, membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta perubahan apabila mereka berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia menerusi projek inovasi bertajuk Last Chance Groceries.
Hasil kerja keras dan dedikasi mereka telah diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila diumumkan sebagai pemenang Special Awards by Oracle Academy bagi kategori System Software dalam Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2025 yang berlangsung di Greater Columbus Convention Center, Ohio, Columbus, Amerika Syarikat (AS).
Memetik perkongsian Saarani Mohamad atau Datuk Seri Saarani Mohamad di Facebook pada Ahad, beliau memaklumkan pencapaian adik-beradik kembar ini sememangnya sangat hebat.
"Luar biasa anak muda. Semoga terus berinovasi untuk masa depan dan terus banggakan negeri Perak dan Malaysia," tulis Menteri Besar Perak.
Menurut Saarani, Last Chance Groceries (aplikasi pintar) direka khas untuk menangani krisis pembaziran barangan runcit di Malaysia dengan memberi kemudahan kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan akses makanan.
"Berbeza dengan model sistem antarabangsa lain yang lebih tertumpu kepada sisa makanan restoran, aplikasi yang mereka bangunkan ini merupakan platform perintis dikhususkan sepenuhnya untuk menangani lebihan barangan runcit yang hampir tamat tempoh.
"Dengan tawaran diskaun antara 30 hingga 90 peratus, para pengguna dapat membeli barangan runcit dengan harga berpatutan dan dalam masa sama dapat menangani pembaziran," kongsi beliau di platform Facebook.
Terdahulu, sebanyak enam pasukan inovasi telah mengharumkan nama negara di Regeneron ISEF 2025.
Mereka yang terlibat terdiri daripada MCKK; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Khatolik, Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Selangor; SMK Sultan Ismail, Johor; Sekolah Menengah Sains Muhammad Jiwa, Kedah dan Sekolah Menengah Sultan Alam Shah, Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu System Software; Cellular and Molecular Biology; Environmental Engineering; Material Science and Energy dan Sustainable Materials and Design.
Ia melibatkan penyertaan 14 pelajar sekolah menengah yang diketuai Dr Azurawati Wok Zaki selaku Fair Director Malaysia, pegawai pengiring dan guru pembimbing.
Kumpulan Malaysia berjaya memenangi dua pingat Grand Awards dalam kategori Environmental Engineering menerusi inovasi pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Khatolik dan Sekolah Menengah Sains Muhammad Jiwa.
Manakala MCKK muncul pemenang Special Awards kategori System Software.
Regeneron ISEF 2025 merupakan pertandingan bertaraf antarabangsa yang memberi peluang kepada pelajar mempamerkan projek inovatif serta daya cipta mereka di pentas global.
Acara ini melibatkan 1,334 projek inovasi yang menghimpunkan peserta seramai 1,657 dari lebih 60 negara dan menyediakan platform berprestij bagi mengiktiraf pencapaian pelajar dalam bidang inovasi dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Antara objektif utama penyertaan Malaysia dalam Regeneron ISEF 2025 untuk memberikan pendedahan dan pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa kepada inovator muda dan mengeratkan pertukaran budaya serta peluang rangkaian dengan peserta dari lebih 60 buah negara.