Awal tahun lalu, seorang murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Juara Dunia dalam Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63.
Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim, 7, membuktikan bahawa usia muda bukan halangan untuk mengukir kejayaan hingga ke pentas antarabangsa.
Terbaharu, seorang lagi anak Pasti mencipta kejutan apabila terpilih menyertai Akademi JDT iaitu sebuah akademi bola sepak profesional yang lengkap dengan pendidikan, penginapan dan kemudahan latihan komprehensif untuk pemain muda.
Menurut perkongsian PASTI Negeri Selangor di Facebook, adik Aidan yang merupakan alumni Pasti Kota Raja, Shah Alam, Selangor turut dipilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan bola sepak antarabangsa di Hainan, China sekali gus meletakkan namanya sebagai antara bakat muda paling menonjol yang lahir daripada sistem pendidikan awal Islam.
"Adik Aidan merupakan contoh terbaik Star in the Making yang membuktikan bahawa asas pendidikan dan pembangunan sahsiah di Pasti mampu melahirkan insan soleh dan cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk sukan.
"Pasti percaya kejayaan ini bukan hanya soal kehebatan di padang, tetapi juga manifestasi syiar Islam melalui platform sukan," jelas kenyataan itu.
Sementara itu, PASTI Negeri Selangor menzahirkan harapan agar Aidan terus istiqamah, merendah diri dan menjadikan pencapaian ini sebagai amanah serta peluang berdakwah melalui sukan.
"Dari Pasti kini ke antarabangsa. Tahniah Aidan. Tahniah Pasti Kota Raja. Semua bangga denganmu," kongsi hantaran itu.
Sebagai makluman, adik Aidan bukan nama asing dalam kalangan warga Pasti.
Dalam Kejohanan Bola Sepak PASTI Selangor 2022, dia tampil sebagai wira perlawanan apabila menjaringkan gol kemenangan hasil sepakan percuma di saat akhir iaitu satu detik yang bukan hanya membawa pulang trofi, tetapi juga menjadi simbol kepada permulaan perjalanan seorang anak Pasti menuju pentas antarabangsa.