SMK Tuanku Lailatul Shahreen semarak STEM, cipta generasi cakna teknologi

Iklan
Sebahagian pelajar SMK Tuanku Lailatul Shahreen tekun mengikuti program STEM yang dijalankan semasa slot perhimpunan sekolah.

Program Pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) telah berjaya dianjurkan dengan sambutan yang cukup menggalakkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis pada Isnin.

Ia diadakan bersempena pelaksanaan serentak Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) 100³ dan STEM in 30 Seconds yang melibatkan seluruh sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Iklan
Iklan

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Mohd Noor Mat Salleh, program anjuran Unit Kokurikulum dengan kerjasama erat Pusat Sumber Sekolah merupakan kesinambungan inisiatif yang telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Julai 2024.

Pada pelancaran tersebut, Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyenaraikan 100 saintis tempatan bagi menjayakan Program Jangkau Luar ke 100 buah sekolah, bertujuan untuk menyemarakkan aktiviti STEM hingga ke akar umbi.

Iklan

Dr Asral

"Bagi pelaksanaan program di SMK Tuanku Lailatul Shahreen, pihak sekolah telah menjemput Ketua Pusat Kecemerlangan Teknologi Mikro Sistem (MiCTEC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Madya Dr Asral Bahari Jambek untuk menyampaikan perkongsian bertajuk 'Perkembangan Teknologi dan Cabaran Masa Kini'.

Iklan

"Dalam sesi selama 20 minit ini, beliau telah menjelaskan secara ringkas namun padat tentang evolusi teknologi daripada telefon bertali dan berbutang kepada telefon pintar yang kini berfungsi seperti sebuah komputer mini.

"Beliau turut memperkenalkan konsep Kecerdasan Buatan (AI) sebagai gelombang perubahan teknologi masa kini yang amat pantas. Pensyarah ini juga mengajak pelajar untuk berfikir secara kritis dan membayangkan bentuk teknologi yang akan mereka gunakan dalam kehidupan seharian 10 tahun akan datang,” kata Mohd Noor kepada Sinar Bestari.

Sementara itu, Dr Asral berkata, penguasaan teknologi masa kini memerlukan kemahiran asas yang dipelajari di sekolah seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia, Biologi serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Ujarnya, kemahiran dalam menggunakan AI juga dianggap sebagai kemahiran asas baharu yang penting untuk membantu pelajar belajar dengan lebih mudah, pantas dan efisien.

"Perkongsian ini telah berjaya membuka minda murid serta menyuntik kesedaran tentang kepentingan menguasai bidang STEM sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia teknologi yang sentiasa berubah," jelas Dr Asral.

Seterusnya, pelajar Tingkatan 3 Progresif, Dian Durrani Izwan telah diberi peluang membentangkan buku bertajuk Germ yang mengetengahkan persoalan berkaitan dunia mikroorganisma.

Dian Durrani ketika membentangkan buku yang mengetengahkan persoalan berkaitan dunia mikroorganisma.

Disampaikan dalam sesi Resensi Buku 30 Saat, Dian Durrani berkata, buku itu telah mencetuskan minatnya untuk mendalami bidang Biologi sekali gus mengaplikasikan ilmunya dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Guru Perpustakaan dan Media, Cikgu Rosita Abdullah berkata, program telah berjaya menyuntik inspirasi kepada pelajar untuk lebih menghargai ilmu sains dan teknologi serta membina keyakinan dalam menerokai bidang STEM demi masa depan yang lebih cerah.