Seramai 51 pelajar Tingkatan 4 daripada empat sekolah menengah sekitar Kluang, Johor menerima pendedahan awal kepada dunia pengaturcaraan dan pembangunan sistem melalui Program Tautan Ilmu Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) baru-baru ini.
Program anjuran FSKTM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di Dewan Bestari Sekolah Tinggi Kluang itu melibatkan kumpulan pelajar yang mengambil subjek Sains Komputer bagi persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Bengkel intensif separuh hari tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang pembangunan laman web dan pengaturcaraan SQL secara praktikal.
Program menghimpunkan pelajar daripada empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Mengkibol, SMK Simpang Renggam, SMK Dato’ Haji Hassan Yunos dan Sekolah Tinggi Kluang, yang kesemuanya di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang.
Penganjuran secara bersiri itu adalah hasil usaha bersepadu Kelab Teknologi Maklumat bersama Jabatan Kejuruteraan Perisian FSKTM dan PPD Kluang.
Menurut Pengarah Program, Mohamad Irfan Mohd Kamili, pendekatan bengkel secara langsung itu membolehkan pelajar memahami dengan lebih jelas konsep yang selama ini dipelajari secara teori di dalam bilik darjah.
"Setiap peserta menunjukkan minat mendalam dan semangat tinggi bagi memahami teknologi terkini.
"Malah guru-guru yang hadir turut menyifatkan program ini sebagai pemangkin yang mampu mencetus motivasi tinggi dalam kalangan pelajar untuk menceburi bidang Sains Komputer pada masa hadapan," katanya.
Hasil penilaian program menunjukkan bahawa kesemua objektif penganjuran telah berjaya dicapai sepenuhnya.
Ini termasuklah pendedahan awal kepada disiplin pengaturcaraan, pengenalan kepada teknologi semasa seperti web development, SQL dan Kecerdasan Buatan (AI) serta pemahaman asas terhadap pembangunan sistem yang digunakan dalam dunia sebenar.
Para peserta berpeluang melihat sendiri bagaimana teknologi seperti HTML, CSS, JavaScript dan SQL digunakan dalam membangunkan sistem sebenar sekali gus memberikan mereka pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan praktikal.
Sementara itu, Mohamad Irfan berkata, program yang diusahakan oleh dua Pensyarah FSKTM iaitu Ts Dr Mohd Amin Mohd Yunus dan Profesor Madya Dr Nureize Arbaiy bersama fasilitator turut membantu para peserta untuk mengaitkan pembelajaran teori yang dipelajari di sekolah dengan aplikasi sebenar di dunia industri dan universiti teknikal.
"Mereka juga mendapat gambaran lebih jelas berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta peranan institusi seperti UTHM dalam memperkasa pendidikan teknologi di peringkat nasional," katanya.
FSKTM berharap, penganjuran program seumpama itu mampu menjadi jambatan penghubung antara universiti dan sekolah dalam memperkukuhkan lagi hubungan strategik selaras dengan agenda memperkasakan pendidikan STEM negara secara menyeluruh dan inklusif.