Produk Chronologi-Diorama-Map (CHRODIOMAP) yang dibangunkan pasukan inovasi Student-Huffaz (STUFFAZ) mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya meningkatkan markah kefahaman pelajar dalam topik kronologi Sejarah daripada 44 peratus kepada 100 peratus.
Bukan itu sahaja, kajian pasukan dari Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Sabak Bernam, Selangor turut mendapati 90 peratus pelajar lebih berminat dan seronok mempelajari subjek Sejarah selepas menggunakan produk inovatif tersebut.
Menurut Ketua Projek, Nordarwish Putra Norjamal, CHRODIOMAP dibangunkan dengan gabungan elemen diorama 3D, peta infografik, audio visual dan simulasi pergerakan yang direka khas untuk memudahkan pelajar memahami kronologi Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu.
"CHRODIOMAP bukan sekadar peta, ia membawa pelajar seolah-olah berada di medan sejarah sebenar.
"Pelajar dapat melihat laluan pencerobohan Jepun, lokasi penting dan tarikh bersejarah sambil mendengar naratif audio," katanya.
Tambah Nordarwish Putra, keunikan produk tersebut terletak pada gabungan pembelajaran visual, kinestetik dan interaktif.
"Diorama ini dilengkapi kereta elektronik yang bergerak mengikut laluan peperangan di Semenanjung Tanah Melayu, lampu LED, audio dokumentari dan peta tepat berdasarkan fakta sejarah sebenar," jelasnya dengan menambah, pasukan STUFFAZ turut dianggotai oleh Baish Syahmie Badrin Samsul (pereka bentuk), Mohd Naqib Mohd Jepri (aspek teknologi), Hanis Safiya Jamasaharuddin dan Noor Maisarah Noor Azmi (masing-masing ahli dokumentasi).
Sementara itu, dengan keunikan dan keberkesanannya, CHRODIOMAP berjaya meraih pingat emas kategori Young Innovator - Online dalam International Invention, Innovation and Design Competition (I3DC) 2025 baru-baru ini.
Pengetua MITS Sabak Bernam merangkap Penasihat Kumpulan STUFFAZ, Mazanah Jemali melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian itu.
"Kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih, kreativiti dan kerjasama erat antara pelajar dan guru pembimbing.
"Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi hebat pada masa hadapan dan terus memberi inspirasi kepada warga MITS Sabak Bernam untuk berdaya saing di peringkat global," katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) MITS Sabak Bernam, Dr Abu Zarrin Selamat turut menyampaikan penghargaan kepada kumpulan pelajar itu.
"Alhamdulillah, satu kejayaan yang sangat membanggakan.
"Semoga pencapaian sebegini terus diperkasa di masa akan datang. Terima kasih juga kepada guru-guru yang telah membimbing dan menggerakkan pasukan ini sehingga berjaya meraih pingat emas. Tabik dan terbaik," katanya.
Dalam pada itu, ahli pasukan STUFFAZ turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membimbing mereka khususnya Ustazah Munera Hashim (Ustazah Bonda) serta dua mentor berpengalaman iaitu Cikgu Wan Nasrul Afiq Wan Nazri dan Ustazah Raudhatul Nadhrah Mahmudin.
Mereka juga berterima kasih kepada Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana memberi sokongan penuh kepada pelajar dalam pembinaan inovasi berasaskan pendidikan.
Tidak berhenti di situ, pasukan STUFFAZ kini berhasrat untuk memperluaskan penggunaan CHRODIOMAP dalam topik sejarah lain seperti Nasionalisme di Asia Tenggara dan Pembentukan Malaysia, selain meneroka integrasi teknologi Augmented Reality (AR) untuk memberikan pengalaman pembelajaran digital yang lebih imersif dan menarik.