Kejayaan luar biasa tercipta di bumi Kedah apabila nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah bergema di pentas antarabangsa.
Pasukan inovasi dan robotik sekolah itu muncul sebagai satu-satunya sekolah menengah yang berjaya meraih anugerah dalam International Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx) 2025, sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara.
Bukan sekadar satu, mereka turut membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan Anugerah Khas (Young Innovator), menewaskan saingan dari universiti, institusi pengajian tinggi serta industri.
Lebih manis, projek unggul mereka, SMART AI FIREBOT: REDQUE-X iaitu robot pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengesan kebakaran dan memadam api secara automatik berjaya memikat hati juri sekali gus meraih emas dan Anugerah Khas.
Satu lagi emas disumbangkan melalui ASQEN Lotion Spray, losyen organik berasaskan herba tempatan yang berfungsi sebagai pelindung kulit dan penghalau serangga.
Sementara itu, EcoAir Edu Kit: Environment Monitoring System yang mampu memantau kualiti udara secara masa nyata pula membawa pulang pingat perak dan tempat ketiga, Kategori Elektrik, Elektronik & Komunikasi.
Pertandingan yang berlangsung di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra pada 13 dan 14 Ogos itu menghimpunkan peserta antarabangsa dari Korea Selatan, United Kingdom, Indonesia, Filipina, Thailand serta Bangladesh.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud.
Bagi ketua pasukan, Umar Alfaruqi, kejayaan itu tidak datang bergolek.
“Kami sentiasa berbincang, membuat kajian mendalam dan berlatih tanpa henti. Kerjasama berpasukan adalah kunci kejayaan di pentas antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, guru pembimbing, Dr Ismail Salleh pula menegaskan pencapaian tersebut membuktikan bahawa pelajar tahfiz juga mampu bersinar dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Mereka bukan sahaja mahir dalam ilmu agama, malah bijak menguasai kemahiran abad ke-21,” ujarnya.
Nada sama dikongsi oleh seorang lagi guru, Nurul Syazwana Kasa yang percaya bahawa peluang dan bimbingan tepat mampu melahirkan pencipta teknologi muda.
“Mereka telah membuktikan usia muda bukan penghalang untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Pengetua sekolah, Arpan Shaari turut menzahirkan penghargaan kepada semua pelajar, guru serta pihak yang menyokong usaha ini.
“Kejayaan ini lahir daripada doa dan usaha berpasukan,” katanya dengan penuh bangga.
Dengan pencapaian ini, SMK Agama Kedah bukan sahaja mengukir nama di pentas inovasi dunia, malah membuktikan bahawa kreativiti tidak mengenal batas usia dan ilmu agama boleh seiring dengan teknologi moden.