Ribut terbangkan bumbung SK Seri Perlis, 207 murid jalani PdPR

Iklan
Bangunan SK Seri Perlis mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda pada petang Isnin. Foto: Facebook Gan Ai Ling

Seramai 207 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis, Kangar, Perlis terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat sementara waktu berikutan sebahagian bumbung sekolah itu rosak diterbangkan angin dalam kejadian ribut petang Isnin. 

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata, kejadian pada 5.20 petang itu menjejaskan kelas Tahun Satu melibatkan dua kelas dengan 70 murid; Tahun Dua (dua kelas, 74 murid); Prasekolah (satu kelas, 25 murid) dan lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan 38 murid

Iklan
Iklan

"JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) telah memaklumkan kepada penjaga murid dan semua langkah segera sedang diambil supaya kerja baik pulih dapat dijalankan secepat mungkin. Kami juga telah memohon bantuan dana daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Rose Aza berkata, pihak sekolah turut diminta memastikan pembelajaran murid terus dipantau dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PdPR itu berlangsung agar mereka tidak ketinggalan.

Iklan

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook memaklumkan beliau meminta JPN Perlis untuk menyediakan laporan penuh kerosakan dan peruntukan bencana akan disalurkan supaya kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera.

"Syukur tiada murid, guru dan warga sekolah yang terjejas dalam kejadian ini," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan kejadian tersebut dan turut memaklumkan sebuah kereta rosak ditimpa bahagian bumbung sekolah yang diterbangkan angin. - Bernama