Kad ucapan hari lahir ini ditulis Allahyarham Zara Qairina sebelum dia meninggal dunia baru-baru ini.
Kad ucapan hari lahir ini ditulis Allahyarham Zara Qairina sebelum dia meninggal dunia baru-baru ini.

'Selamat hari jadi ma, Zara sayang mama nanti kita pergi Makkah sama-sama ya' - Netizen menangis baca kad ucapan pelajar Tingkatan 1

06 Aug 2025 02:05pm

Sebuah kad ucapan hari lahir mengandungi kata-kata penuh kasih dan pengorbanan, kini menjadi momen terakhir yang menyentuh hati ramai.

Ia ditulis oleh pelajar Tingkatan Satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum pemergiannya ke alam abadi.

Kad yang ditujukan buat ibunya, Noraidah Lamat, bukan sekadar ucapan hari lahir biasa.

Sebaliknya, ia merupakan luahan cinta seorang anak yang menyimpan terlalu banyak rasa syukur dan penghargaan terhadap insan paling bermakna dalam hidupnya.

Dengan tulisan tangan yang kemas dan jujur, Sinar Bestari kongsikan apa yang dicatat oleh Allahyarham untuk ibu tercinta.

"Selamat hari jadi ma, Zara sayang mama nanti kita pergi Makkah sama-sama ya. Terima kasih sudah lahirkan Zara ke dunia dan terima kasih sudah jaga Zara selama ini. Semoga mama dipanjangkan umur, diluaskan rezeki dan sihat selalu.

Allahyarham Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina

Artikel Berkaitan:

"Zara minta maaf, Zara banyak salah dengan mama, Zara minta maaf.

"Sayang, cinta, rindu muah!! I love you. Zara lope lope mama. Zara ndak akan lupa kebaikan mama sampai bila-bila. Mamalah orang yang selalu bersama Zara. Zara sayang mama untuk selamanya." 

Sementara itu, meninjau ruangan komen di Facebook, ramai warga maya mengakui tidak mampu menahan air mata selepas membaca kad ucapan itu.

NorRulhazilah Basirun: "Allahuakbar, sedihnya. Tak terkata nak cakap. Sebak, sedih dan hati ibunya pasti remuk dengan apa yang terjadi. Semoga mendapat keadilan untuk arwah." 

Niki Suzilawati Ny: "Setiap bait kata-kata dari tulisan Almarhumah Zara Qairina adalah sangat puitis. Gaya bahasa yang sangat sopan. Gaya tulisan yang berseni kreatif. Jiwa halus seorang anak yang sangat menyayangi mamanya." 

Diana Zainal: "Anak syurga. ALLAH sayang padamu, sayang." 

Terdahulu, Allahyarham Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp