Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai lalu.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai lalu.

'I love you, Zara sayang mama' - Rakaman suara Zara Qairina buat netizen sebak

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
31 Jul 2025 10:17am

Sebuah video memaparkan perbualan telefon antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya, Noraidah Lamat, sekali lagi mencuri perhatian warganet selepas dimuat naik ke laman Facebook milik penceramah bebas, Marhamah Rosli pada Rabu.

Rakaman berdurasi satu minit itu memperdengarkan suara manja arwah Zara Qairina, satu-satunya anak tunggal Noraidah, dalam perbualan telefon yang penuh kasih sayang antara kedua-duanya.

"I love you, ma. Zara sayang mama. Sayang. Cinta. Rindu." Itu antara perbualan dua beranak tersebut yang didengar menerusi video berkenaan.

Dalam perbualan itu, Noraidah berulang kali menasihati anaknya agar berhati-hati dan kuat menghadapi dugaan, sementara Zara Qairina pula membalas dengan ungkapan penuh kasih dan kerinduan.

Sebelum ini, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai lalu.

Dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) keesokan harinya.

Kejadian itu kini sedang disiasat oleh pihak polis selepas dikaitkan dengan dakwaan berlaku unsur buli di sekolah tersebut.

Paparan suara penuh kelembutan dan kasih antara Zara Qairina dan ibunya itu nyata meruntun hati warganet, yang rata-ratanya meluahkan rasa sebak dan simpati terhadap nasib keluarga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tanda pagar #JusticeForZara terus digunakan oleh warganet sebagai simbol solidariti dan gesaan agar siasatan telus serta keadilan diberikan kepada arwah Zara.

Sementara itu, Marhamah dalam hantarannya memaklumkan bahawa rakaman suara itu dikongsi dengan keizinan ibu Allahyarham sendiri dan menganggap ia sebagai bukti kasih sayang yang tidak boleh disangkal.

"Itulah suara arwah Zara Qairina dalam rakaman panggilan telefon kepada ibunya...Rakaman ini disimpan kemas, kenangan terakhir. Suara satu-satunya anak yang ALLAH pinjamkan buat seorang ibu.

"Dan kini, itulah satu-satunya pengubat rindu, kerana selepas ini, suara itu tidak akan kembali lagi," tulisnya sambil disertakan emoji menangis.

Namun begitu, Marhamah mendakwa terdapat pihak yang cuba menyebarkan naratif palsu kononnya Zara Qairina membenci ibunya, selain timbul tuduhan tidak berasas mengenai punca kematian remaja itu.

"Begitu mudah lidah manusia membuat kesimpulan. Begitu ringan menuduh, sedang yang difitnah sudah tidak mampu lagi membela diri.

"Maka kami siarkan rakaman ini, bukan untuk menang hujah, tetapi untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran yang tidak sempat diucapkan oleh Zara Qairina sendiri," katanya.

Marhamah turut mengajak masyarakat menilai sendiri rakaman suara tersebut dengan hati yang jujur dan terbuka.

"Begitukah suara seorang anak yang membenci ibunya? Kalau benar kita masih punya hati dan perasaan, dengarlah rakaman ini dengan ikhlas.

"Zara sudah tiada, tetapi maruahnya masih perlu kita pertahankan. Kepada sesiapa yang menyebarkan cerita palsu ini atau yang diam tetapi bersetuju. Ingatlah, fitnah itu mungkin nampak berjaya hari ini, tetapi lambat-laun ia akan berpatah balik kepada yang memulakannya, menyebarkannya dan menyokongnya," tulisnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebencian tidak wajar dijadikan benteng mempertahankan diri.

"Kita sangka kita sedang menjatuhkan orang...rupanya kita sedang menggali lubang untuk diri sendiri.

"Di mana hilangnya simpati? Ke mana tenggelamnya empati? Mempertahankan diri dengan menumbuhkan benci," luahnya penuh kesal.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp