Ubah pelepah sawit jadi pasu mesra alam! Idea & kreativiti pelajar SMK Bagan Terap dapat pujian ramai

Iklan
Kumpulan pelajar SMK Bagan Terap tampil dengan solusi inovatif menerusi projek POT sebagai usaha untuk menggantikan polibag plastik dengan pasu tanaman biodegradasi berasaskan pelepah sawit terbuang.

Penggunaan polibag plastik dalam sektor pertanian semakin menjadi kebiasaan kerana mudah dan murah.

Namun, kesan jangka panjangnya terhadap alam sekitar amat membimbangkan antaranya sukar dilupuskan, mencemarkan tanah dan mengancam keseimbangan ekosistem.

Iklan
Iklan

Prihatin dengan isu ini, sekumpulan pelajar kreatif dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Sungai Besar, Selangor tampil dengan solusi inovatif menerusi projek Planter of Tomorrow (POT) From Residue to Revival, sebagai usaha untuk menggantikan polibag plastik dengan pasu tanaman biodegradasi berasaskan pelepah sawit terbuang.

Projek POT digerakkan oleh kumpulan inovasi Innova Genius yang dianggotai Nur Dayana Balqis Jamarul Rizal, Nur Nasreen Zuhayra Mohd Shahrin, Nur Syaza Syamimi Azmi dan Nur Atikah Nurina Kamaroszadi.

Iklan

Mereka mendapat bimbingan guru berpengalaman, Cikgu Norafiza Razilah yang banyak membantu memperkukuh idea dan kaedah pelaksanaan projek.

Menurut Cikgu Norafiza, pelepah sawit yang lazimnya dibuang sebenarnya mempunyai potensi besar untuk dikitar semula.

Iklan

"Kerana potensi itu, tercetuslah idea menghasilkan pasu tanaman mesra alam yang diperbuat daripada pelepah sawit sebagai penyelesaian lestari.

"Pasu ini bukan sahaja mesra alam malah mudah terbiodegradasi dan mampu membekalkan nutrien secara semula jadi kepada tanaman apabila ia mereput di dalam tanah.

"Dalam masa sama, produk dibangunkan turut menyokong amalan 5R (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Repurpose)," jelasnya.

Innova Genius berjaya membuktikan kemampuan mereka apabila terpilih sebagai 30 kumpulan terbaik dalam Pertandingan Toyota Eco Youth baru-baru ini.

Cikgu Norafiza berkata, projek POT dilaksanakan dalam tempoh lima bulan iaitu bermula Mei hingga September 2025.

Ujarnya, sepanjang tempoh itu, beberapa siri bengkel telah dianjurkan sebagai pengisian utama projek iaitu Bengkel 5R Awareness bersama murid STI3 pada 7 Julai, Bengkel POT untuk murid-murid (23 Julai) dan Bengkel POT untuk masyarakat umum (9 Ogos).

Beliau menegaskan, projek POT membuktikan bahawa generasi muda mampu menjadi pencetus perubahan.

"Dengan kreativiti dan kesedaran tinggi, pelepah sawit yang sebelum ini dianggap sisa dapat diubah menjadi produk bermanfaat.

"Jika dikomersialkan, POT bukan sahaja memelihara alam sekitar malah mengurangkan kos dan membantu petani seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menjaga bumi demi generasi akan datang," katanya lagi.

Terdahulu, Innova Genius berjaya membuktikan kemampuan mereka apabila terpilih sebagai 30 kumpulan terbaik dalam Pertandingan Toyota Eco Youth baru-baru ini.

Difahamkan, pertandingan berkenaan merupakan satu platform yang mengiktiraf projek berimpak alam sekitar para pelajar.

Sementara itu, warga maya turut membanjiri ruang komen di media sosial dengan pujian dan kata-kata semangat kepada pelajar SMK Bagan Terap atas kejayaan membangunkan inovasi hijau berkenaan.

Mereka menyifatkan usaha tersebut sebagai contoh terbaik kreativiti generasi muda dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

Ada yang berpendapat, projek sebegini patut diperluaskan ke sekolah lain agar lebih ramai pelajar dapat menyumbang idea hijau.

Tidak kurang juga yang kagum dengan keberanian dan kesungguhan pelajar sekolah menengah menghasilkan produk yang mempunyai potensi komersial dan berharap pihak berkaitan seperti agensi kerajaan serta syarikat swasta dapat memberi sokongan bagi merealisasikan projek tersebut ke peringkat lebih tinggi.

INFO

Kelebihan projek POT

  • Menggunakan sumber semula jadi yang melimpah sebagai bahan utama.
  • Pasu mudah terbiodegradasi dan mesra alam.
  • Apabila mereput, pasu bertindak sebagai baja organik yang menyokong pertumbuhan tanaman.
  • Menawarkan alternatif lestari kepada polibag plastik.
  • Potensi untuk dikomersialkan kepada petani pada masa hadapan.

Sekiranya projek POT berjaya dikembangkan

  • Pencemaran plastik dapat dikurangkan secara signifikan.
  • Pertanian lebih mampan dan mesra alam dapat dilaksanakan.
  • Petani mendapat pilihan pasu yang bukan sahaja mesra alam malah menyokong pertumbuhan tanaman.
  • Sisa pertanian dapat diurus secara berkesan melalui konsep 5R.