'Arwah beritahu nak meninggal masa kecil, mahu terus masuk syurga' - Bapa

Iklan
Abdul Fattah yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng pernah meluahkan hasrat untuk meninggal dunia ketika kecil kerana mahu terus masuk syurga.

Murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairul Rizal, yang maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sebuah sekolah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada Sabtu, pernah meluahkan hasrat untuk meninggal dunia ketika kecil kerana mahu terus masuk syurga.

Bapanya, Khairol Rizal Mustafar, 42 berkata, anak kedua daripada empat beradik itu telah beberapa kali menyuarakan hasrat tersebut namun beliau menganggap kata-kata anaknya itu sebagai perbualan kosong semata-mata.

Iklan
Iklan

"Dah lama juga dia tanya soalan ini, kalau meninggal dunia masa kecil boleh terus masuk syurga ke? Kalau macam tu dia mahu meninggal masa kecil. Bila dia kata begitu, saya tanya kenapa cakap macam tu. Saya tak mahu dia berfikir begitu.

"Bila saya tanya apa cita-cita apabila besar nanti, arwah jawab tidak tahu. Rupanya dia nak pergi dulu," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, Sabtu.

Iklan

Khairol Rizal yang juga Imam 2 Masjid Khairiah berkata, beliau turut berada di sekolah berkenaan semasa kejadian kerana memegang jawatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk program hari sukan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin.

Khairol Rizal menunjukkan gambar kenangannya bersama arwah.

Iklan

"Kemudian keadaan jadi kecoh, selepas dimaklumkan ada budak jatuh dalam lubang kumbahan.

"Bila dengar ada budak jatuh, saya tak terus ke tempat kejadian tapi saya pergi padang dulu nak tengok keadaan anak-anak saya.

"Jumpa anak ketiga, saya rasa lega tapi cari Abdul Fattah saya tak jumpa. Tanya kawan dia, Naufal. Dia kata 'Ustaz, Abdul Fattah tak ada'. Masa tu saya dah mula rasa tak sedap hati," ujarnya.

Katanya, tidak lama kemudian seorang guru memaklumkan bahawa anaknya adalah mangsa yang telah terjatuh ke dalam lubang dan sedang diberi bantuan kecemasan.

"Masa saya sampai, anak saya dah dibawa naik diberikan bantuan CPR dan dalam keadaan tak sedarkan diri. CPR dah dibuat dalam setengah jam. Doktor yang ada di situ cakap arwah dah tak ada.

"Tapi saya minta tunggu juga ambulans. Nak bawa ke hospital. Doktor kata 'ok, terpulang'. Dalam ambulans pun mereka teruskan CPR. Sampai ke zon merah, doktor sambung lagi.

"Akhirnya mereka kata prosedur dah buat sepenuhnya, memang tak boleh selamatkan sebab air dah banyak masuk (dalam paru-paru)," katanya.

Jenazah dibawa keluar dari unit forensik Hospital Rembau.

Bercerita lanjut, beliau berkata, arwah tidak menyertai sebarang acara balapan pada hari sukan tersebut kerana tidak terpilih dalam saringan sebaliknya ke sekolah untuk meramaikan program saja.

"Saya tidak mengetahui secara tepat bagaimana kejadian berlaku, namun dimaklumkan ada orang terdengar bunyi sesuatu jatuh.

"Saya pun tak tahu apa tujuan dia ke belakang bangunan, tak tahu kenapa dia berlari ke situ," katanya lagi.

Meskipun sedih kehilangan anak lelaki tunggal dalam keluarga namun beliau tetap menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan.