
2 pensyarah UKM raih PhD di Oxford, angkat nama Malaysia di persada dunia!
Dua pensyarah Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menamatkan pengajian Ijazah Kedoktoran (PhD) di University of Oxford, United Kigdom dalam bidang Psikiatri dan Sains Perubatan Kardiovaskular.
Mereka ialah Dr Fitri Fareez Ramli, 37, yang telah menamatkan pengajian dalam bidang Psikiatri dengan tajaan Yayasan Khazanah.
Manakala Dr Azlan Helmy Abd Samat, 42, yang menamatkan pengajian Sains Perubatan Kardiovaskular dengan tajaan Biasiswa Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Dr Fitri Fareez yang menamatkan pengajian pada Oktober tahun lepas telah menjalankan kajian berkaitan kesan penggunaan ubat ebselen yang menjadi salah satu ubat yang belum pernah dipasarkan sebelum ini untuk sebarang jenis penyakit.
"Dalam bidang psikiatri, ebselen dikaji bagi mencari alternatif kepada ubat lithium yang digunakan untuk merawat penyakit bipolar dan kemurungan.
"Walaupun berkesan, penggunaan ubat lithium mungkin tidak menjadi pilihan utama kerana kesulitan dalam pemantauan darah dan kesan-kesan sampingan," katanya.
Beliau menjalankan kajian tesis bertajuk Investigating the Effects of the Lithium-Mimetic Drugs, Ebselen, on Emotional Processing and Brain Neurochemistry in Patients with Medication-Resistant Depression di bawah seliaan Profesor Dr Philip Cowen dan Dr Beata Godlewska.
Hasil kajian itu mendapati ubat ebselen mempunyai cara kerja yang sama dengan lithium, seiring dengan hasil kajian pada haiwan dan sukarelawan yang sihat.
"Ia juga mempunyai profil kesan sampingan yang lebih baik berbanding lithium," katanya yang turut menerima geran perjalanan dari Guarantors of Brain UK, Polish National Agency for Academic Exchange (NAWA) dan British Association of Psychopharmacology untuk membentangkan hasil kajian di persidangan-persidangan antarabangsa.
Selain dari belajar, Dr Fitri Fareez yang mempunyai minat melukis telah mempamerkan lukisan-lukisan di beberapa tempat seperti National Army Museum dan Royal Lancaster London, United Kingdom.
Beliau telah menerima Race Equality Recognition Award daripada Department of Psychiatry University of Oxford dan diangkat sebagai Equality, Diversity and Inclusion Exemplars oleh Oxford Health Biomedical Research Centre berdasarkan karya lukisannya yang membawa konsep kesihatan mental dan identiti.
"Minat dalam lukisan secara tidak langsung berkait rapat dengan pengalaman saya dalam bidang kesihatan mental yang dapat dijadikan landasan bagi ekspresi dan komunikasi," katanya.
Baru-baru ini, Dr Fitri Fareez telah menerima President’s Recognition for Young Investigators Award daripada International College of Neuropharmacology (CINP) ketika Kongres Dunia Neuropsikofarmakologi ke-36 dan Mesyuarat Asian College of Neuropsychopharmacology ke-9 yang berlangsung di Melbourne Convention & Exhibition Centre, Australia.
Sementara itu, Dr Azlan Helmy yang menamatkan pengajian pada April tahun lepas di bawah seliaan Profesor Masliza Mahmud, Profesor Betty Raman, Profesor Adam Lewandowski dan Profesor Stefan Neubauer telah berjaya membuktikan potensi elektrokardiografi (ECG) dalam mendiagnosis kecederaan jantung dengan ketepatan yang tinggi, berdasarkan dapatan dari Magnetic Resonance Imaging (MRI) jantung.
Menurut beliau, kajian tesisnya bertajuk Diagnostic Utility and Predictive Ability of Electrocardiography in Detecting Myocardial Abnormalities in Cardiac Magnetic Resonance Imaging ini memberi tumpuan khusus kepada dua penyakit utama iaitu Covid-19 dan Hypertrophic Cardiomyopathy (HCM) iaitu penyakit genetik yang sering dikaitkan dengan kematian mengejut di seluruh dunia.
"Lebih menarik, hasil kajian ini bukan sekadar menjelaskan faktor risiko kematian mengejut dengan lebih mendalam, tetapi turut membuktikan bahawa bacaan tertentu dalam ECG seperti QTc interval (selang QTc), mampu meningkatkan ketepatan diagnosis kecederaan jantung khususnya dalam kalangan pesakit Covid-19 dan lebih signifikan dalam kalangan pesakit HCM," katanya.
Dapatan berharga daripada kajian beliau telah meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah Early Career Award for Translational Research di Persidangan Society of Cardiac Magnetic Resonance (CMR) di London pada awal tahun lepas.
Dalam tempoh pengajian, Dr Azlan Helmy turut terlibat sebagai felo bagi dua projek penyelidikan flagship iaitu IMPROVE-HCM (A Study to Evaluate the Safety, Tolerability and Efficacy of IMB-1018972 in Patients With Non-obstructive Hypertrophic Cardiomyopathy Trial) yang melibatkan pusat perubatan di United Kingdom dan Amerika Syarikat serta CMORE (Capturing Multi-organ Effects of COVID-19).
Dengan penyelidikan ini, Dr Azlan Helmy bukan sahaja membawa harapan baharu dalam bidang perubatan, malah membuka lembaran untuk penyelidikan berkaitan diagnosis penyakit jantung berdasarkan ECG dan MRI diperluaskan lagi.
Di University of Oxford, beliau turut aktif sebagai Postgraduate Exco, Oxford University Malaysia Club dan sepanjang berada di sana, beliau ditemani oleh isteri dan empat anak yang menjadi tunjang kekuatan serta sumber inspirasi sepanjang tempoh pengajiannya.
Kini, Dr Fitri Fareez dan Dr Azlan Helmy telah kembali ke Malaysia untuk terus menyumbang kepakaran dalam bidang perubatan selain meneruskan penyelidikan masing-masing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Terdahulu, University of Oxford adalah salah sebuah universiti terkemuka dunia yang kini berada dalam kelompok lima universiti terbaik di dunia.
Sumber: Portal UKM