Nurin Erdiani (tengah) diumumkan sebagai penerima Emerging Scholar Award sekali gus mengharumkan nama UKM dan negara.
Nurin Erdiani (tengah) diumumkan sebagai penerima Emerging Scholar Award sekali gus mengharumkan nama UKM dan negara.

Pelajar PhD UKM antara 5 penerima anugerah dunia! Satu pencapaian luar biasa anak Malaysia

14 Aug 2025 11:45am

Hanya lima individu genius dari seluruh dunia dipilih untuk menerima Emerging Scholar Award sempena 21st International Conference on Technology and Society 2025 yang berlangsung di Taiwan baru-baru ini.

Mengejutkan ramai, salah seorang penerimanya datang dari Malaysia iaitu Nurin Erdiani Mhd Fadzil, pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Manakala empat lagi penerima anugerah ini adalah wakil dari institusi akademik tersohor dunia iaitu University of Cambridge (United Kingdom), Ontario College of Art and Design University (Kanada), National University of Singapore (NUS) dan University of the Pacific, San Francisco (Amerika Syarikat).

Difahamkan, hadiah berprestij berkenaan dianugerahkan oleh Common Ground Research Networks yang berpusat di Illinois, Amerika Syarikat.

Ia diberikan sebagai pengiktirafan kepada penyelidik muda yang bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan dalam akademik, malah memiliki dedikasi tinggi terhadap penyelidikan dan potensi besar dalam membentuk masa depan ilmu serta teknologi.

Bagi Nurin Erdiani, anugerah diraih bukan sekadar trofi, tetapi pemangkin untuk melangkah lebih jauh.

"Penghormatan diberi memberi dorongan besar kepada saya untuk terus aktif dalam bidang akademik, khususnya meneroka potensi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pedagogi bahasa.

"Ia juga memperluaskan jaringan penyelidikan di peringkat global dan membuka peluang kerjasama rentas institusi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Nurin Erdiani
Nurin Erdiani

Nurin Erdiani menegaskan bahawa perjalanan penyelidikan memerlukan kesabaran, keazaman dan rasa ingin tahu yang berterusan.

Katanya, setiap penyelidik muda di Malaysia perlu yakin bahawa hasil kerja mereka mampu memberi impak, tidak kira sebesar mana atau di mana bermula.

Sementara itu, Nurin Erdiani berkata, dia meraih pengiktirafan tersebut menerusi pembentangan hasil kajian PhDnya iaitu membangunkan kerangka pembelajaran multimodal untuk pengajaran penulisan akademik Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (ESL) khususnya dalam konteks pelajar universiti.

"Tujuan utama kerangka ini adalah menyediakan pendekatan pedagogi yang lebih bersifat holistik, interaktif dan bersesuaian dengan keperluan pelajar abad ke-21.

"Kerangka berkenaan mengintegrasikan enam konstruk utama yang saling melengkapi iaitu mengintegrasi AI, penggunaan teknologi digital, reka letak tipografi, nilai estetik, isyarat kontekstual dan kekohesifan penulisan," ujarnya panjang lebar.

Katanya lagi, gabungan elemen itu mampu memberikan impak positif kepada semua pihak sama ada pelajar mahupun pendidik.

"Bagi pelajar, ia membantu mereka memahami bukan sahaja isi kandungan, tetapi juga kaedah penyampaian penulisan akademik secara lebih mendalam.

"Buat pendidik pula, kerangka ini menyediakan panduan praktikal untuk merancang tugasan penulisan lebih kreatif, responsif dan berfokus kepada nilai estetik," akhiri pelajar hebat ini.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp