Dari rasa ingin tahu ke cinta Sains: Bagaimana psikologi mendorong anak-anak mencintai Sains

Iklan
Dalam psikologi pendidikan, rasa ingin tahu (curiosity) bukan sekadar keinginan untuk tahu sesuatu, tetapi merupakan tenaga kognitif dan emosi yang mendorong seseorang untuk meneroka, memahami, dan mencari makna di sebalik fenomena. Foto: Canva. Gambar kecil: Dr Sheikh Muszaphar Shukor

"Kenapa langit biru?"

"Bagaimana roket boleh terbang?"

Iklan
Iklan

Soalan-soalan mudah ini sering ditanya oleh kanak-kanak, namun di sebaliknya tersimpan potensi besar ia menandakan kehadiran rasa ingin tahu, satu fitrah asas yang menjadi titik mula kepada minat terhadap Sains.

Dalam psikologi pendidikan, rasa ingin tahu (curiosity) bukan sekadar keinginan untuk tahu sesuatu, tetapi merupakan tenaga kognitif dan emosi yang mendorong seseorang untuk meneroka, memahami dan mencari makna di sebalik fenomena.

Iklan

Dalam konteks pendidikan awal, memahami bagaimana rasa ingin tahu ini boleh berkembang menjadi minat mendalam terhadap Sains merupakan isu yang amat penting.

Penyelidikan saya dalam bidang ini menekankan bahawa pembentukan minat terhadap Sains tidak berlaku secara spontan, sebaliknya bergantung kepada pengalaman, persekitaran sosial dan pendekatan pedagogi yang merangsang minda serta emosi pelajar.

Iklan

Minat terhadap Sains bukan sekadar hasil daripada pendedahan kepada maklumat atau silibus sekolah, tetapi merupakan refleksi kepada pengalaman emosi positif yang dialami semasa proses pembelajaran.

Perasaan teruja, gembira dan dihargai ketika berjaya menyelesaikan eksperimen kecil seperti melihat bunga berubah warna dalam air membentuk ingatan jangka panjang yang mengukuhkan keterikatan emosi terhadap Sains.

Foto: Canva

Teori Motivasi Kendiri (Self-Determination Theory) oleh Deci dan Ryan (2000) menjelaskan bahawa motivasi intrinsik, iaitu keinginan untuk belajar kerana keseronokan dan minat, jauh lebih berkesan berbanding motivasi ekstrinsik seperti ganjaran atau tekanan.

Dalam konteks ini, apabila kanak-kanak mempelajari Sains atas dorongan ingin tahu dan bukan paksaan, mereka membina hubungan yang lebih mendalam dan kekal dengan subjek tersebut.

Pelbagai kajian pendidikan

Dalam pelbagai kajian pendidikan, guru dikenal pasti sebagai faktor dominan dalam membentuk persepsi dan minat pelajar terhadap Sains.

Guru yang bersemangat, kreatif dan mempunyai kemampuan untuk menghubungkan teori dengan dunia sebenar menjadikan pembelajaran lebih bermakna.

Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Inkuiri (inquiry-based learning) sangat sesuai di peringkat sekolah rendah kerana ia memberi ruang kepada pelajar untuk bertanya, membuat hipotesis, mencuba dan menemui jawapan sendiri.

Kaedah ini bukan sahaja merangsang kemahiran berfikir aras tinggi, tetapi juga menanam rasa kepemilikan terhadap proses pembelajaran.

Secara psikologi, pelajar yang diberi autonomi dalam pembelajaran menunjukkan tahap motivasi dan minat yang lebih tinggi.

Ekologi pembelajaran tidak terhad kepada sekolah semata-mata; ia bermula di rumah.

Foto: Canva

Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa persekitaran rumah yang menyokong pembelajaran sama ada melalui aktiviti sederhana atau perbualan harian mampu mencetuskan minat saintifik.

Aktiviti mudah seperti menanam biji kacang dan memerhatikan pertumbuhannya memperkenalkan anak kepada konsep biologi secara semula jadi.

Mengajak mereka meneka mengapa ais mencair lebih cepat di bawah cahaya matahari membuka peluang memahami konsep tenaga dan haba.

Malah, menonton dokumentari angkasa bersama serta berbincang tentangnya dapat menyalakan rasa kagum terhadap kebesaran alam dan penciptaan.

Yang paling penting ialah interaksi dan dorongan positif. Kanak-kanak yang merasakan soalan mereka diterima dengan minat dan rasa hormat akan terus bertanya, meneroka dan belajar.

Dari sudut psikologi perkembangan, respons positif ini membina self-efficacy kepercayaan bahawa mereka mampu memahami dunia melalui usaha dan pemerhatian sendiri.

Foto: Canva

Alat pembelajaran imaginasi dan penerokaan.

Dalam era digital, kanak-kanak semakin banyak terdedah kepada kandungan Sains melalui media seperti YouTube, TikTok dan permainan interaktif.

Jika diselia dengan baik, media ini berpotensi besar sebagai alat pembelajaran yang menggalakkan imaginasi dan penerokaan.

Kandungan seperti eksperimen maya, animasi sains dan simulasi angkasa mampu menghidupkan konsep yang sukar dijelaskan melalui teks semata-mata.

Namun, tanpa bimbingan, pendedahan ini boleh menjadi pedang bermata dua. Maklumat yang tidak sahih atau terlalu dangkal boleh menimbulkan kekeliruan dan minat yang bersifat sementara.

Oleh itu, literasi digital saintifik perlu diterapkan sejak awal bukan sekadar mengajar fakta, tetapi keupayaan menilai sumber, menyoal dan membina kefahaman berdasarkan bukti.

Pembentukan minat terhadap Sains perlu dilihat sebagai satu proses psikologi berlapis yang melibatkan interaksi antara individu dan persekitarannya.

Ia bermula daripada rasa ingin tahu yang dicetuskan oleh fenomena harian, disokong oleh emosi positif, diperkukuh melalui interaksi sosial (guru dan keluarga) dan dikembangkan dalam konteks budaya yang menghargai ilmu.

Foto: Canva

Pendekatan menyeluruh

Dalam konteks Malaysia, membina minat Sains memerlukan pendekatan menyeluruh bukan sahaja memperbaharui kurikulum, tetapi juga menanam nilai saintifik dalam kehidupan seharian masyarakat.

Peranan ikon Sains tempatan seperti angkasawan, penyelidik dan inovator amat penting sebagai sumber inspirasi yang menjadikan Sains lebih dekat dengan jiwa anak-anak.

Cinta terhadap Sains tidak sekadar bertujuan melahirkan saintis, jurutera atau inovator masa depan, tetapi untuk membina masyarakat yang berfikiran kritikal, ingin tahu dan berasaskan bukti.

Pembangunan minat terhadap Sains harus dilihat sebagai satu usaha strategik negara bermula dengan cara kita menyambut rasa ingin tahu anak-anak hari ini.

Setiap soalan kecil seperti 'mengapa langit biru' bukan sekadar tanda keinginan tahu, tetapi peluang emas untuk menanam benih cinta terhadap ilmu.

Sekiranya setiap rasa ingin tahu ini disambut dengan dorongan, bimbingan dan kasih sayang, maka kita bukan sahaja melahirkan generasi yang memahami Sains, tetapi generasi yang mencintai ilmu dan menggunakan pemikiran saintifik untuk membina masa depan negara.

Foto: Canva

Maklumat penulis:

Felo Universiti Kebangsaan Malaysia, Pejabat Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) dan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my