PU Rahmat, graduan UKM yang tidak pernah gentar dalam perjuangan kemanusiaan

Iklan
Ketegasan prinsip, keilmuan mendalam dan semangat juang tinggi menjadikan PU Rahmat antara figura yang disegani dalam misi antarabangsa kali ini.

Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza disertai oleh individu yang bukan calang-calang.

Mereka datang daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion, namun disatukan oleh satu tujuan iaitu membawa suara keamanan dan harapan kepada rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Antara wira kemanusiaan tersebut ialah pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali PU Rahmat, yang juga graduan Syariah Kontemporari, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketegasan prinsip, keilmuan mendalam dan semangat juang tinggi menjadikan beliau antara figura yang disegani dalam misi antarabangsa kali ini.

Iklan

Selain PU Rahmat, barisan peserta GSF turut terdiri daripada tokoh muda berpendidikan tinggi yang aktif dalam pelbagai lapangan.

Nur Heliza Helmi (Datin Heliza Helmi) misalnya, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi dan Kimia) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang pernah menerima Anugerah Dekan.

Iklan

Turut menyertai misi ialah Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ilya Balqis Suhaimi, pelajar Sarjana Pengajian Etnik, UKM serta Nurfarahin Romli (Farah Lee), graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dari Inha University, Korea Selatan dan Ijazah Sarjana Pendidikan Kanak-kanak, University of Leeds, United Kingdom. 

Tidak ketinggalan, Muhammad Muaz Zainal Abidin (Muaz Zainal), alumni Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana), graduan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Kolej Cambridge.

Menerusi semakan Sinar Bestari di beberapa media tempatan, PU Rahmat pernah menimba ilmu di Sekolah Kebangsaan Segambut, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut dan Kolej Matrikulasi Melaka (KMM).

Di sinilah sifat kepimpinan dan keprihatinan sosial beliau mula terserlah.

Hantaran rasmi laman Facebook KMM pada Rabu menzahirkan rasa bangga terhadap sumbangan besar PU Rahmat yang kekal aktif sebagai alumni.

"Beliau merupakan alumni KMM Sesi 2011/2013 yang sangat aktif menghulurkan khidmat bakti, baik sewaktu masih bergelar pelajar mahupun selepas menamatkan pengajian.

"Malahan, Dewan Terbuka Rahmat dinamakan sempena namanya sebagai penggerak utama yang berjaya mengumpul sumbangan terbesar bagi pembinaannya," tulis kenyataan itu.

Selain GSF, PU Rahmat sering menyertai misi kemanusiaan antarabangsa seperti misi ke Jordan–Syria, misi pembelajaran ke Turki, misi kebajikan ke Sudan, Afrika serta Jaringan Pendidikan Mahasiswa Australia.

Setiap misi yang disertai memperkukuhkan keazaman beliau untuk terus berkhidmat kepada manusia sejagat tanpa mengira sempadan bangsa dan agama.

Walaupun pernah melalui pengalaman getir ketika ditahan rejim Israel, PU Rahmat tetap teguh dan bersemangat dalam membantu rakyat.

Baginya, setiap cabaran hanyalah ujian untuk menguatkan semangat dan iman.