Amalan bersedekah dan tidak lokek ilmu menjadikan Allahyarham Nassry Mardee Ismail, 45, atau lebih dikenali sebagai Cikgu E, terus menjadi bualan ramai serta diberikan penghormatan terakhir oleh ribuan orang selepas pemergiannya.
Pengasas Madrasah Ashabus Suffah, Muhammad James Baven antara individu yang menjadi saksi kebaikan serta amal jariah dilakukan oleh Cikgu E.
Beliau berkata, Allahyarham bukan sahaja seorang sahabat yang pemurah, malah menjadi insan paling banyak membantu madrasah berkenaan sejak ia ditubuhkan sembilan tahun lalu.
"Amalan terbesar Cikgu E ialah dia suka tolong orang. Dari awal penubuhan madrasah, dia yang paling banyak bantu kami.
"Sampai masa dia buka satu kedai serbaneka di Manjoi ketika pandemik Covid-19 tahun 2020, dia suruh pelajar madrasah kami datang ambil barang apa sahaja tanpa perlu bayar," katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya pada Selasa.
Muhammad percaya amalan sedekah yang istiqamah menjadi antara sebab ramainya insan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
"Kematian yang dicemburui ini bukan kebetulan. Saya yakin sedekahnya yang luar biasa itulah yang mengangkat darjatnya di sisi ALLAH.
"Sepanjang 20 tahun saya tinggal di Meru Raya, tak pernah saya lihat orang seramai itu datang ziarah jenazah. Ini pasti kerana amalan istimewa beliau,” katanya sebak.
Menurutnya, Cikgu E sentiasa memastikan pelajar madrasah yang terdiri daripada anak yatim dan asnaf tidak terputus bekalan keperluan asas.
"Setiap dua minggu dia akan tanya saya, 'Ustaz, barang anak-anak dah habis ke belum? Kalau habis datang ambil lagi'.
"Dia gunakan perniagaan dia untuk bantu orang. Bukan kami saja, malah madrasah lain pun dia bantu," katanya.
Muhammad menambah, arwah juga seorang yang banyak menabur bakti melalui kepakarannya dalam bidang media dan fotografi.
"Dia ajar pelajar-pelajar kami kenal dunia media, latih mereka jadi jurugambar tanpa ambil apa-apa bayaran.
"Masa dia tengah sakit pun, dia masih hubungi saya, tawarkan diri nak ajar cara guna Facebook untuk jana pendapatan bagi madrasah," ujarnya.
Katanya lagi, keikhlasan arwah membantu masyarakat dapat dilihat daripada sambutan luar biasa semasa pengebumiannya.
Berkongsi perwatakan Allahyarham, beliau menyifatkan Cikgu E sebagai seorang yang ceria, periang dan tidak pernah menunjukkan kesedihan walaupun berdepan ujian kanser tahap empat.
"Semangat dia pelik. Orang lain bila tahu ada kanser terus lemah, tapi dia sebaliknya makin kuat.
"Sampai selepas pembedahan buang buah pinggang pun, dia masih aktif bersukan dan berlari,” katanya.
Menurutnya, perjuangan Cikgu E menjadi sumber inspirasi kepada ramai pesakit kanser kerana sikap positif dan kekuatannya melawan penyakit.
Sementara itu, seorang rakan Allahyarham, Mohd Haris Baharudin, 36, dari Sabak Bernam, Selangor mengakui Cikgu E seorang mentor dalam perniagaan yang sangat istimewa.
"Saya kenal arwah dari tahun 2017. Asbab dialah kejayaan saya hari ini dalam bidang katering dan banyak ilmu bisnes yang dia ajar kepada saya. Ilmunya itu sangat bermanfaat sampai saya berjaya sekarang.
"Antara momen yang paling saya ingat masa arwah sakit dia minta saya masak daging tomahawk dan kambing golek. Lepas dia makan masakan saya, dia cakap cef, ini benda yang terakhir kau masak aku makan," katanya dengan nada sebak.
Menurutnya, Allahyarham tidak lokek berkongsi ilmu terutama dalam menguruskan perniagaan dan segala tunjuk ajar itu diberikan secara percuma.