Baru- baru ini, kerajaan telah memperkenalkan satu inisiatif geran padanan berjumlah sehingga RM4,000 untuk menggalakkan rakyat yang memiliki kenderaan persendirian melebihi 20 tahun supaya menukarkannya dengan kenderaan nasional baharu.
Gagasan ini telah disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat demi mengurangkan kuantiti kenderaan lama di jalan raya sekali gus meningkatkan permintaan dalam industri jenama automatif tempatan.
Menurut beliau, langkah ini juga bagi mengelakkan risiko berlakunya kemalangan di jalan raya dan mengurangkan jumlah kemalangan yang terjadi.
Menerusi rancangan ini, kerajaan berkolaborasi dengan syarikat penghasilan kenderaan tempatan seperti Perodua dan Proton untuk menyediakan Geran Padanan Kenderaan Nasional kepada pemilik yang bersetuju melupuskan kenderaan usang mereka.
Usaha ini dilihat sebagai pelaksanaan model cash-for-clunkers dalam konteks di Malaysia yang telah pun dilaksanakan di Amerika Syarikat pada tahun 2009 yang terbukti memberikan insentif kewangan kepada pengguna dan secara tidak langsung memajukan industri automotif tempatan dari segi menaikkan jualan melalui jumlah pengeluaran.
Pihak pengeluar menyatakan program ini mampu mentransformasikan industri automotif dalam mengeluarkan kenderaan yang mesra alam dan lebih selamat.
Aspek keselamatan dan kecekapan menjadi punca utama inisiatif ini diketengahkan di mana kenderaan yang telah melebihi dua dekad tidak lagi relevan digunakan di jalan raya atas sebab ketidakcekapan dari segi bahan api dan berkemungkinan membawa kepada kerosakan mekanikal.
Keadaan ini sudah jelas tidak memenuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan dalam penarafan New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP) yang berisiko di jalan raya serta menjadi beban ekonomi akibat kos penyelenggaraan yang mahal apabila kemalangan.
Lebih membimbangkan lagi, kadar keselamatan jalan raya menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya sehingga kini menjadi sebab fundamental kepada kematian dan kecederaan yang serius maka usaha pelupusan kenderaan usang ini dianggap dapat menambah baik keselamatan awam.
Dengan menurunkan kadar peratusan kenderaan usang di jalan raya, kadar kemalangan diharapkan dapat ditangani dalam jangka masa panjang.
Sungguhpun begitu, keberkesanan program bergantung kepada ketelusan dan komprehensif dalam pelaksanaannya.
Terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira seperti kaedah pelupusan yang menepati standard alam sekitar, syarat kelayakan pemilik, kadar trade-in yang setimpal serta dorongan kepada golongan yang mungkin tidak mampu untuk memiliki kenderaan baharu meskipun selepas subsidi.
Contohnya, memastikan nilai trade-in atau pampasan adalah logik supaya pemilik kenderaan lama tidak merasa kerugian untuk bersetuju melupuskan kenderaan lapuk mereka.
Program ini berkemungkinan hanya memberi faedah kepada pengguna yang mampu milik sekiranya insentif tambahan seperti skim pembiayaan mudah atau subsidi tambahan untuk golongan rentan tidak dilaksanakan.
Dari segi alam sekitar, kenderaan yang telah mencapai akhir hayat atau dikenali sebagai End-of-Live (ELV) terkandung dengan bahan yang terancam seperti pencemaran minyak enjin, asid bateri dan bahagian- bahagian yang sukar dikitar semula perlu dilupuskan mengikut piawaian pengurusan sisa kenderaan yang betul supaya dapat memelihara alam sekitar daripada tercemar.
Oleh itu, kerajaan dicadangkan agar memberi sokongan terhadap penubuhan pusat pengumpulan dan pemprosesan ELV yang mematuhi standard persekitaran serta mengesahkan syarikat yang mempunyai kelulusan pelaksanaan dan kapasiti teknikal.
Pelepasan gas karbon monoksida juga dapat dikurangkan jika insentif ini digabungkan untuk kenderaan hibrid atau elektrik pada masa akan datang.
Menerusi pandangan sudut ekonomi, program geran padanan ini dikatakan dapat memberi kesan positif kepada pengguna kerana kos penyelenggaraan yang semakin tinggi yang kebiasaannya dihadapi oleh pemilik kenderaan lama.
Melalui penggantian kepada kenderaan baharu, mereka boleh menjimatkan bahan api, kos yang lebih rendah untuk penyelenggaraan dan meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Dalam sektor automotif, peningkatan permintaan dari polisi ini berpotensi merangsang rantaian bekalan tempatan, membuka peluang pekerjaan lebih banyak dan menggiatkan aktiviti kilang penyelidikan dan pembangunan (R&D) automotif nasional.
Ia turut memberi kesempatan kepada pengeluar untuk mempromosikan model yang memenuhi standard keselamatan dan kecekapan bahan api yang lebih bagus.
Justeru itu, langkah ini boleh menyempurnakan dasar jangka panjang mengenai mobiliti mapan.
Namun, segelintir suara berkecuali memfokuskan bahawa program ini sewajarnya didampingi dengan pendidikan awam dan kempen kesedaran.
Sesetengah pemilik mungkin masih meragui untuk melupuskan kenderaan lama kerana terikat dengan nilai sentimental yang timbul dalam diri mereka atau kos langsung yang terlibat.
Penyertaan dapat dimaksimumkan melalui penerangan menerusi kempen berkaitan manfaat keselamatan apabila menukarkan kenderaan usang kepada kenderaan baharu, kesan ekonomi jangka panjang dan kaedah pelupusan yang mudah dan telus adalah penting dalam mengimplementasikan program ini supaya mencapai keberkesanan dalam pelaksanaannya.
Tuntasnya, kejayaan inisiatif geran padanan ini bersandar kepada pelaksanaan yang menyeluruh dengan peraturan yang jelas, infrastruktur pelupusan ELV, dorongan dana tambahan untuk golongan berpendapatan rendah serta pemantauan untuk memastikan urusan perdagangan yang saksama.
Jika dilaksanakan dengan bijak, program ini bukan sekadar akan mengurangkan bilangan kenderaan akhir hayat yang berbahaya di jalan raya malah juga menggerakkan pertumbuhan ekonomi bagi industri automotif tempatan daripada lama ke terkini demi keselamatan dan keharmonian negara.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nor Zuriati Mat Zuki.
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my