Hanya menggunakan bahan utama daun serai, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Klana Putra, Lenggeng, Negeri Sembilan berjaya mencipta pinggan yang lebih mesra alam dan selamat.
Inovasi pinggan serai yang diberi nama Ecosera itu melayakkan mereka muncul juara dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang melibatkan 700 penyertaan dari seluruh dunia yang diadakan di Bali baru-baru ini.
Projek berkenaan hasil ciptaan enam pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat bersama Guru Pembimbing, Cikgu Noor Shariffah Mohd Jaafar, 42 dan Nur Syafiqah Nadiah Farid, 30.
Cikgu Noor Shariffah berkata, usaha menghasilkan pinggan tersebut mengambil masa dua bulan termasuk proses kajian dan percubaan.
"Mulanya kami rancang untuk menghasilkan sesuatu daripada kulit durian, tetapi disebabkan buah ini bermusim, saya cuba fikir sesuatu yang boleh dihasilkan dari daun serai.
"Saya kemudian buat pembacaan di media sosial, meneliti beberapa tesis universiti dan mendapatkan pandangan rakan-rakan, dari situ timbul idea untuk menghasilkan pinggan daripada daun serai," katanya selepas majlis minum petang penghargaan dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, memandangkan tiada sebarang peralatan mesin digunakan, proses untuk menghasilkannya mengambil masa agak lama.
Jelasnya, daun serai perlu direndam selama dua minggu untuk mengeluarkan serat sebelum disisir bagi membuang lendiran dan dipotong mengikut saiz ditetapkan.
"Proses itu ambil sedikit masa kerana kami buat semuanya secara manual. Serat daun tadi dicampur pula dengan kanji yang diperbuat daripada tepung ubi.
"Kemudian ia dibentuk menjadi pinggan dan dijemur di bawah cahaya matahari selama satu hari. Bila dah kering, perlu disapu dengan lilin madu untuk mampatkan lagi pinggan yang dibentuk," katanya.
Cikgu Noor Shariffah berpendapat inovasi berkenaan mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan sekiranya mendapat bantuan mesin yang sesuai bagi menghasilkan produk lebih kemas dan konsisten.
Katanya, jika berjaya direalisasikan, ia juga boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada lebih pengusaha serai di sekitar Lenggeng.
"Ini projek pertama kami dan banyak lagi yang boleh ditambah baik. Jika ada peluang, saya berhasrat nak komersialkan pinggan serai ini.
"Matlamat utama saya membawa pelajar menyertai pertandingan ini adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka dan alhamdulillah usaha itu membuahkan hasil," katanya.
Sementara itu, Mohd Asna berkata, kejayaan tersebut membuktikan pelajar dari sekolah luar bandar turut berupaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Ujarnya, inovasi itu tepat dengan Lenggeng yang mempunyai banyak pengusaha tanaman serai, khususnya jenis serai peha ayam.
"Selalunya bahagian buangan serai selepas dituai hanya dibakar, tapi dengan inovasi ini, mampu memberikan sumber pendapatan baharu kepada pengusaha.
"Ada pihak penyelidik universiti telah menunjukkan minat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengkomersialkan produk berasaskan serai ini dan ini peluang yang baik buat sekolah," katanya.