Karya lukisan yang dihasilkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, 21, kini dapat dilihat menerusi Pameran Seni Visual Memorial Muhammad Mustaqim Rosde yang berlangsung di Galeri Seni, UPSI.
Pameran yang dibuka sehingga 27 Januari 2026 itu mengetengahkan kira-kira 68 buah lukisan beliau di mana setiap satu membawa makna tersendiri seolah-olah menyimpan isyarat tersirat tentang sisi kehidupan, pengalaman dan rasa yang tidak sempat dizahirkan sepenuhnya oleh Allahyarham.
Seorang tenaga pengajar Kelas Membaca Kanak-Kanak Sufi Kreatif, Perak, Mohd Firdhaus Hasraf Hassan, berkongsi pengalamannya mengunjungi pameran tersebut kepada Sinar Bestari.
Menurut beliau, banyak subjek dalam karya Allahyarham seakan memberi bayangan tentang kemalangan yang menimpa dirinya.
"Imejan jalan raya yang sunyi, suasana suram kegelapan malam dan penghadang jalan...rupa-rupanya telah pun divisualkan terlebih dahulu dalam lukisannya.
"Suratan atau kebetulan, begitulah misterinya seni lukisan yang berpaut kepada pemikiran dan rasa," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa seorang pemikir dan penghasil seni sentiasa berinteraksi dengan pengetahuan, pengalaman serta pengamatan yang pernah dilalui.
Namun dalam seni lukis, 'rasa' atau sensasi yang hadir dari naluri pelukis sering menjadi elemen misteri yang menambah nilai pada sesebuah karya.
"Apatah lagi jika rasa itu memandu pelukis sehingga mampu menterjemahkannya dalam bentuk imej," tambahnya.
Laluan gerik: Realiti yang pernah dirasai
Mohd Firdhaus turut berkongsi pengalaman peribadinya menaiki bas dari Tanjong Malim ke Pantai Timur.
Katanya, laluan di Gerik yang terkenal dengan lintasan gajah dan haiwan liar sentiasa gelap, licin dan berisiko terutama waktu malam ketika hujan. Risiko kemalangan sangat tinggi, apa lagi jika pemanduan laju.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Allahyarham pernah melalui pengalaman serupa sepanjang berulang-alik ke Terengganu menaiki bas.
"Barangkali arwah juga pernah mengalami suasana itu. Namun, takdir ALLAH SWT lebih menyayangi para syuhada dan syuhadah," ujarnya.
Pemandangan landskap & teknik bayang
Allahyarham Mustaqim sangat gemar merakam pemandangan landskap terutama suasana petang, senja dan malam dengan beberapa karya menggunakan teknik bayang atau silhouette.
Teknik ini lazimnya mencipta kesan misteri, seolah-olah menutup maksud dan emosi yang tidak ingin ditonjolkan secara jelas.
"Saya tidak mengenali arwah secara dekat. Namun jika diamati teknik sapuan berus dan lakaran dalam karyanya, ia lembut, tidak menekan. Ia seakan menggambarkan jiwa seorang yang sensitif, halus terhadap pengalaman dan arah tujunya," jelas Mohd Firdhaus.
Untuk rekod, Allahyarham Mustaqim antara 15 penuntut UPSI yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak 9 Jun lalu.
Bas yang disewa khas dari Jertih untuk membawa pelajar pulang ke universiti itu terlibat dalam nahas tragik yang turut mencederakan 33 mangsa lain termasuk pemandu, kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.