
'Mereka insan hebat' - Rangkuman kisah luar biasa pelajar UPSI yang terkorban
Tragedi ngeri yang berlaku di Gerik, Perak sehingga meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 9 Jun lalu, meninggalkan kesan cukup mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lebih menyentuh hati, kesemua mangsa yang terlibat dipercayai sedang menuju ke universiti, membawa bersama semangat menimba ilmu, cita-cita dan impian buat diri, keluarga serta negara.
Ramai ulama dan tokoh agama menyifatkan semua mangsa termasuk dalam kategori syahid akhirat, kerana pemergian mereka berlaku ketika berjihad menuntut ilmu.
15 mangsa yang telah dikenal pasti maut terdiri daripada Fakhrul Arif Rosdi, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, Muhammad Adib Hazim Halim, Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, Nur Ainul Qistina Mat Ali, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, Nurly Sahirah Azman dan Nurul Fatihah Abu Setaman.
Turut terkorban, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, Sufea Adela Maslihaizan, Fatin Nasrien, Muhammad Mustaqim Rosde, Wan Nur Suhaila, Anis Soffiyya Md Zaidi dan Nor Ayuni Maslan.
Susulan tragedi ini, pelbagai kisah luar biasa tentang keperibadian mangsa mula tular.
Ada yang merupakan hafiz dan hafizah al-Quran, aktif dalam kegiatan sukarelawan dan tidak kurang yang menjadi inspirasi kepada rakan sebaya mereka.
Hari ini, Sinar Bestari kongsikan sebahagian cerita mangsa nahas bas yang telah pergi, namun jejak kebaikan mereka kekal tertulis di bumi dan langit.
1) Nurly Sahirah Azman iaitu pelajar Fakulti Pembangunan Manusia UPSI merupakan seorang hafizah 30 juzuk al-Quran.
Jenazahnya dikatakan mengeluarkan bau yang sangat wangi, seolah-olah isyarat bahawa ALLAH SWT menerima pemergiannya dalam keadaan yang diredai dan dimuliakan.
Pemandu van jenazah dari Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu, Roslee Hamzah sendiri mengesahkan perkara itu.
"Sebaik van dibuka, saya dan mereka yang berada berhampiran terhidu bau sangat harum, seolah-olah kasturi… saya hanya mampu terkedu," katanya dalam satu kenyataan.
Suasana ketika solat jenazah Nurly Sahirah juga amat hening dan syahdu. Ramai yang tidak mampu menahan air mata melihat tubuh kecil itu dibaluti kain putih dalam keadaan tenang, seakan sedang tidur. Namun hakikatnya, dia sudah pun ‘pulang’ kepada Tuhan yang amat dicintai dan kitab yang dia jaga sepenuh hati.
Kisah Nurly Sahirah menjadi bukti bahawa al-Quran itu bukan sekadar dibaca, tetapi dijaga dan dimuliakan serta ALLAH akan memuliakan mereka yang menjaganya.
2) Muhammad Adib Hazim merupakan seorang yang gemar membaca al-Quran. Setiap malam selepas solat Maghrib, arwah akan membaca surah Yasin dan al-Mulk sekali gus menjadikannya sebagai rutin.
"Arwah anak yang baik, ceria dan disenangi orang sekeliling.
"Ketika dia meninggal, jenazah arwah hanya mengalami sedikit calar di wajah, seolah-olah sedang tidur tenang," kongsi ibunya, Ruslinan Abd Razak.
3) Nama Mohammad Aqil Taqiuddin sering meniti di bibir apabila berbicara soal subjek Matematik.
Pelajar jurusan Matematik di UPSI ini bukan sekadar mempunyai minat mendalam terhadap nombor dan logik, malah memiliki kebolehan luar biasa dalam menyelesaikan soalan-soalan kompleks dengan pantas dan tepat.
Arwah sering menjadi tempat rujukan saudara-mara, rakan sekolah, bahkan adik-beradik sendiri apabila mereka buntu menyelesaikan latihan Matematik.
Sikapnya yang tenang, merendah diri dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu menjadikan dia amat disenangi ramai.
Kelebihan ini secara tidak langsung menjadikan arwah digelar sebagai ‘Genius Matematik’
4) Nur Dalila Farhana pula merupakan anak sulung harapan keluarga.
Bapanya, Mohamad Isma Abdul Manaf berkata, dia sukar untuk menerima kenyataan yang anakanya telah pergi, namun terpaksa reda dengan ketentuan ALLAH.
Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi menyayat hati ini.
Semoga roh semua mangsa dicucuri rahmat, diangkat sebagai syuhada ilmu dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh.