Negara Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai sumber semulajadi yang boleh meningkatkan sektor ekonomi.
Kelebihan tanah yang subur, sumber mineral dan mempunyai perairan yang luas boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dari segi pengeluaran makanan.
Namun begitu, negara Malaysia masih bergantung kepada import makanan dan bahan mentah dari luar negara untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Perkara ini boleh menjejaskan keberkesanan Dasar Pertanian Negara dan Dasar Perlindungan Perdagangan yang mempunyai pelbagai objektif bagi menjamin pengeluaran makanan yang teratur.
Antara objektif Dasar Pertanian Negara ialah memastikan keselamatan makanan, meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian serta meningkatkan pendapatan petani melalui penggunaan sumber yang mampan.
Manakala, bagi objektif Dasar Perlindungan Perdagangan ialah langkah-langkah yang diambil bagi sesebuah kerajaan untuk melindungi industri tempatan daripada persaingan luar negara melalui sekatan seperti tarif, kuota, dan subsidi.
Setiausaha Agung Federation of Malaysian Consumers Associations (FOMCA) iaitu Saravanan Thambirajah, negara Malaysia kini telah bergantung kepada makanan import yang mencatatkan sebanyak nilai RM60 bilion.
Pada masa sekarang negara Malaysia hanya menanggung sebanyak 75 peratus kepada keselamatan makanan.
Negara Malaysia masih mengimport bahan mentah dan makanan seperti beras, daging, gula, sayuran dan sebagainya.
Walaupun negara Malaysia mempunyai pelbagai sumber tetapi pengeluaran makanan tempatan masih tidak mencukupi untuk memuaskan permintaan masyarakat yang semakin meningkat.
Punca utama kegiatan import semakin meningkat adalah disebabkan kekurangan pengeluaran makanan tempatan dalam sektor pertanian.
Hal ini demikian kerana, kebanyakkan golongan belia kurang minat terhadap sektor pertanian.
Bagi pendapat mereka, sektor pertanian ini membawa keuntungan yang sedikit kepada pendapatan seharian mereka.
Oleh sebab itu, golongan belia lebih memilih untuk bekerja di sektor awam dan sektor swasta kerana mempunyai pendapatan gaji yang tetap.
Pembangunan sektor pertanian moden masih perlahan turut menjadi penyumbang besar kepada kelembapan sektor pertanian.
Hal ini disebabkan oleh, industri tempatan kekurangan teknologi yang canggih bagi proses pengeluaran produk tempatan.
Oleh sebab itu, negara Malaysia terpaksa mengimport bahan mentah dan mesin serta komponen dari luar negara.
Walaupun negara Malaysia menuju ke arah Revolusi Industri 4.0, terdapat kebanyakkan Perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) tempatan masih menggunakan kaedah tradisional dalam penghasilan sesuatu produk.
Perkara ini boleh melambatkan proses pengeluaran dengan menggunakan tenaga kerja manusia dan tanpa menggunakan mesin.
Kebanyakkan ahli-ahli ekonomi telah menyatakan bahawa negara Malaysia masih ketinggalan jauh dalam meningkatkan teknologi moden di sektor pertanian berbanding negara maju yang mempunyai pelbagai kelengkapan teknologi moden dalam pertanian.
Antara punca yang ketiga ialah perubahan iklim dan bencana alam menyebabka sektor pertanian terganggu.
Hal ini demikian kerana, tanaman musnah akibat bencana alam yang berlaku pada musim terkujuh yang boleh mengurangkan bekalan makanan tempatan.
Apabila sesebuah negeri yang mempunyai hasil pertanian yang banyak dilanda banjir, tanaman seperti padi, sayur, buah dan sebagainya boleh mengakibatkan rosak dan tidak berkualiti.
Oleh sebab itu, bekalan makanan tempatan tidak cukup bagi menampung keperluan dan permintaan rakyat.
Perubahan iklim yang telah berlaku boleh melibatkan banjir yang besar pada setiap tahun di negara Malaysia yang boleh menjejaskan hasil pertanian negara dan menyebabkan kerajaan Malaysia mengalami kerugian untuk menampung bekalan makanan yang kurang melalui aktiviti import dari pelbagai negara.
Apabila Malaysia mempunyai aktiviti import yang terlalu banyak, negara akan lebih bergantung kepada bekalan makanan di luar negara.
Oleh sebab itu, kesan kebergantungan kepada kegiatan import dapat melemahkan sektor pertanian tempatan. Hal ini disebabkan, boleh mengurangkan insentif pelaburan dalam pertanian tempatan.
Apabila tahap kebergantungan yang tinggi kepada bekalan makanan yang diimport menyebabkan pelabur kurang berminat terhadap sektor pertanian tempatan.
Pasaran domestik yang telah memenuhi bekalan makanan yang diimport yang mempunyai harga berpatutan yang berkualiti tinggi akan menimbulkan pelbagai tanggapan pelabur terhadap sektor pertanian tempatan sebagai kurang untuk berdaya saing.
Lebih membimbangkan lagi, defisit perdagangan negara juga mencapai tahap yang mencabar. Perkara ini disebabkan apabila nilai import melebihi nilai eksport.
Negara Malaysia melakukan aktiviti import dengan kadar yang tinggi yang boleh menjejaskan imbangan perdagangan.
Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 iaitu dari Kementerian Kewangan Malaysia menunjukkan bahawa import kasar yang tinggi juga dapat meningkatkan defisit perdagangan dan melambatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Oleh sebab itu, defisit perdagangan ini juga melambangkan ketidakseimbangan struktur ekonomi kerana negara Malaysia masih bergantung kepada aktiviti import terutamanya dari segi makanan dan bahan mentah.
Antara kesan lain bagi kebergantungan kepada kegiatan import ialah kenaikan kos sara hidup rakyat.
Situasi ini boleh meningkatkan kadar kemiskinan kerana golongan berpendapatan rendah dan sederhana terbeban dengan perbelanjaan keperluan seharian seperti makanan.
Gangguan rantaian bekalan global dan tekanan inflasi boleh menyebabkan kos sara hidup meningkat.
Apabila kos sara hidup tinggi, berlakunya penurunan kuasa beli rakyat dan peningkatan kadar hutang isi rumah terutamanya dari golongan B40.
Selain itu, Bank Negara Malaysia juga menyatakan bahawa harga makanan telah menunjukkan peningkatan 17.5% sejak tahun 2020 dan pertumbuhan gaji tidak mengalami peningkatan yang boleh membawa cabaran kepada tekanan kos sara hidup masyarakat.
Bagi menyelesaikan isu bekalan makanan import ialah meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dengan memperkenalkan produk yang boleh menarik minat pengguna.
Perkara ini boleh dilakukan dengan memperkenalkan produk makanan tempatan dengan mempunyai kualiti yang tinggi dengan harga yang lebih murah berbanding produk makanan import.
Apabila masyarakat lebih memilih untuk menggunakan produk tempatan, tahap permintaan terhadap barangan makanan import akan lebih berkurang.
Oleh sebab itu, penerapan konsep inovasi dalam pembuatan produk makanan perlu diterapkan bagi memuaskan cita rasa pengguna moden.
Pengusaha produk makanan tempatan perlu menginovasikan produk asal kepada versi yang lebih moden.
Sebagai contoh, produk tenusu segar dengan menghasilkan pelbagai variasi perisa supaya boleh menarik minat pengguna untuk membelinya.
Apabila mempunyai peningkatan inovasi dalam produk makanan dapat meningkatkan daya saing dalam industri makanan tempatan dan boleh menggalakkan pengguna untuk memilih barangan buatan Malaysia.
Langkah seterusnya ialah menarik minat belia dalam sektor pertanian yang berasaskan teknologi moden.
Sektor pertanian yang berasaskan teknologi moden yang dikenali sebagai pertanian pintar iaitu smart farming dapat menarik minat belia dalam menyertai bidang pertanian.
Peranan pihak kerajaan sangat penting untuk meningkatkan teknologi moden dalam penghasilan sektor pertanian. Sebagai contoh, menyediakan bantuan berbentuk teknologi moden dan digitalisasi pertanian seperti mesin canggih yang pelbagai guna dan sebagainya.
Selain itu, pihak kerajaan juga boleh menerapkan pembelajaran baharu seperti kurikulum pertanian di sekolah dan universiti supaya dapat membuktikan bahawa bidang pertanian merupakan bidang yang maju dan berpotensi tinggi.
Pelbagai teknologi baharu diperkenalkan seperti IOT (internet pelbagai benda) yang boleh menarik minat golongan belia dalam menceburi bidang pertanian.
Selain itu, pihak kerajaan juga disaran untuk lebih mengukuhkan Dasar Agromakanan Negara untuk menjamin bekalan makanan yang stabil.
Hal ini demikian kerana, dasar ini mempunyai peranan sebagai perancangan pembangunan sektor pertanian dan industri makanan supaya dapat menghadapi cabaran global.
Dasar ini boleh dipertingkatkan lagi dengan menaiktaraf sistem pengeluaran makanan dengan lebih teratur. Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa pengukuhan Dasar Agromakanan Negara dapat meningkatkan inovasi dan kecekapan logistik yang boleh mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada aktiviti import bekalan makanan sebanyak 20% bagi menjelang tahun 2030.
Oleh sebab itu, dasar ini sangat penting bagi meningkatkan ekosistem pertanian yang lebih maju dan lebih berdaya saing dalam jangka masa yang panjang.
Secara keseluruhannya, negara Malaysia mempunyai banyak sumber yang boleh memajukan negara dan menjadi potensi besar untuk menjadi negara pengeluar makanan paling tinggi di Asia Tenggara kerana mempuyai tanah subur yang sangat sesuai dengan bidang pertanian.
Namun demikian, pelbagai usaha perlu dipertingkatkan lagi bagi menjamin keseimbangan ekonomi dan dapat mengurangkan aktiviti import yang semakin berleluasa.
Dengan kerjasama semua pihak yang terlibat, negara Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti import pada masa yang akan datang.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) Dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Saidatul Nissa Mohd Sopian.
2. Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia, UMT, Jaharudin Padli.
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my