Di sebuah daerah kecil di Kedah, keresahan jelas tergambar pada wajah ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah pagi tadi. Perbualan yang biasanya ringan mengenai jadual kelas bertukar menjadi cerita penuh rasa bimbang setelah tular dakwaan salah laku seksual melibatkan dua orang guru di negeri itu.
Bagi Noraini (bukan nama sebenar), seorang ibu kepada murid tahun lima, berita itu terasa seperti menghentak dada. Dia memandang anaknya yang melambai sebelum masuk ke pagar sekolah sambil menahan sebak.
“Kita hantar anak untuk belajar...bukan untuk berada dalam ketakutan. Bila dengar kes macam ni, memang hati ibu terus risau,” luahnya.
Di tengah kebimbangan itu, langkah segera Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sedikit sebanyak melegakan ramai pihak. Dua guru yang didakwa terlibat telah dikeluarkan serta-merta daripada institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga siasatan selesai.
Keputusan itu dibuat bagi memastikan proses penyiasatan berjalan lancar dan keselamatan murid kekal terpelihara.
Walaupun tindakan tegas itu disambut baik, keresahan komuniti masih belum reda sepenuhnya. Ramai mula mempersoalkan keselamatan murid dalam jangka panjang.
Dalam kalangan guru pula, situasi ini memberi kesan emosi yang besar. Cikgu Farid, guru berpengalaman lebih 15 tahun, mengakui seluruh warga pendidik turut berasa tertekan.
“Kami pun hendak sekolah yang selamat. Majoriti guru datang untuk mendidik dengan ikhlas. Tapi bila ada kes begini, imej kami tercalar. Kami sokong siasatan penuh, sebab murid adalah amanah,” katanya.
Bagi murid-murid, walaupun mereka mungkin belum memahami sepenuhnya isu ini, kesannya tetap terasa. Seorang pelajar tingkatan satu mengakui kini berasa sedikit takut untuk berjumpa guru berseorangan.
“Kalau hendak tanya soalan pun segan...takut,” ujarnya perlahan.
Dalam keadaan ini, ibu bapa, guru dan komuniti sependapat bahawa keselamatan murid tidak boleh dikompromi. Mereka berharap agar langkah-langkah keselamatan diperkukuh, saluran aduan dipermudah dan kesedaran mengenai kesejahteraan murid dipertingkatkan.
“Kami tak minta banyak...cuma mahu sekolah kekal sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak kami,” kata seorang bapa sebelum berlalu, menggenggam tangan anak kecilnya.
Di sebalik keresahan, satu perkara jelas iaitu masyarakat pendidikan mahu kebenaran ditegakkan dan sekolah terus menjadi ruang selamat untuk anak-anak belajar, berkembang dan membina masa depan yang baik.