Kumpulan Tistar Production rangkul gelaran juara dalam International Arts Festival Singapore 2025!

Iklan
Lebih manis, kejayaan berkenaan dicapai hasil persembahan tiga murid Tahun Lima SK Seksyen 13 iaitu Sofea Zahra, Aleesya Safiya dan Nur Amani Qashrina, sekali gus membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia.

Kejayaan membanggakan kembali dilakar di pentas antarabangsa apabila Kumpulan Tistar Production berjaya merangkul gelaran juara dan Anugerah Persembahan Terbaik dalam International Arts Festival Singapore 2025 baru-baru ini.

Lebih manis, kejayaan berkenaan dicapai hasil persembahan tiga murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13, Shah Alam, Selangor iaitu Sofea Zahra Mohd Ismail, Aleesya Safiya Mohd Ismail dan Nur Amani Qashrina Umar Basha, sekali gus membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia.

Iklan
Iklan

Ketiga-tiga murid berbakat ini mendapat bimbingan daripada koreografer muda berpengalaman, Amira Naziha Azidin, 26, yang banyak membimbing mereka dari aspek koreografi, penghayatan persembahan dan pembinaan keyakinan diri.

Menurut Amira Naziha, pencapaian luar biasa yang diraih pasukannya itu benar-benar di luar jangkaan.

Iklan

"Saya sangat terkejut dan tidak menyangka. Ini adalah hasil usaha keras anak-anak didik yang tanpa jemu berlatih. Tahniah semua, cikgu sangat bangga dengan kalian," katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari.

Beliau menjelaskan, meskipun Tistar Production sering menyertai pertandingan seni di dalam negara, penyertaan di Singapura merupakan pengalaman pertama kumpulan itu di pentas antarabangsa.

Iklan

"Saya seorang yang sukakan cabaran dan mahu anak-anak didik merasai sendiri pengalaman pertandingan bertaraf antarabangsa.

"Saya yakin mereka mampu mengharumkan nama negara dan sesungguhnya pencapaian ini amat membanggakan, walaupun ia kali pertama Tistar Production menyertai pertandingan di luar negara," ujarnya.

Tambahnya lagi, pencapaian itu secara tidak langsung menjadi bukti bahawa bakat seni kanak-kanak Malaysia mampu menonjol jika diberi ruang, sokongan dan bimbingan yang betul sejak usia muda.

Sementara itu, Amira Naziha turut menitipkan pesanan bermakna kepada anak-anak seni dan penggiat seni muda yang bercita-cita untuk membawa nama Malaysia ke persada dunia.

"Percaya dan yakinlah dengan diri sendiri. Tuntut ilmu sebanyak yang mungkin, kejarlah cita-cita dan buktikan bahawa anak seni seperti kita juga mampu berjaya di luar sana.

"Saya mendoakan agar semua penggiat seni terus kuat dan istiqamah dalam memartabatkan kesenian negara. Teruskan semangat dan sentiasa saling menyokong antara satu sama lain," katanya penuh inspirasi.

INFO

* Tistar Production merupakan sebuah persatuan kesenian yang memfokuskan kepada seni tari dan seni teater.

* Ditubuhkan pada tahun 2022 dan diasaskan oleh Amira Naziha Azidin, yang bertindak sebagai pengurus serta tenaga pengajar.

* Menjadi salah satu platform terbaik untuk anak muda mengasah bakat dan membina keyakinan diri dalam bidang seni persembahan.

Anugerah dan pencapaian

1) Juara Keseluruhan Malaysia International Children’s Festival 2025 (kategori 13–18 tahun)

2) Lima Finalis Terbaik Malaysia International Children’s Festival 2025 (kategori 6–12 tahun)

3) Naib juara Aerodance Competition – Open Category

4) Tempat ketiga (2nd Runner Up) National Kids Got Talent Competition Malaysia 2025

5) Anugerah perak Pertandingan Tari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan 2025

6) Tempat ketiga & keempat Rentak Alam Competition

7) Tempat ketiga & Anugerah Kostum Terbaik BSN Show Your Talent 2025