Seramai 5,819 pelajar pendidikan khas dari 896 sekolah menengah seluruh negara menamatkan persekolahan bagi Sesi Akademik 2025/2026 menerusi satu laluan penilaian khas yang disesuaikan dengan keupayaan mereka, sekali gus melayakkan mereka menerima Sijil Alternatif Sekolah Menengah.
Laluan itu dikenali sebagai Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) iaitu satu bentuk penilaian yang dibangunkan khusus bagi pelajar berkeperluan pendidikan khas (MBPK) dan tidak berasaskan peperiksaan bertulis konvensional.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, pelaksanaan PASM bagi sesi akademik ini telah selesai sepenuhnya pada 10 Disember 2025, menandakan tamatnya fasa persekolahan menengah bagi ribuan pelajar pendidikan khas di seluruh negara.
Menurut KPM, Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) Sesi Akademik 2025/2026 akan mula dikeluarkan pada 20 Januari 2026 dan boleh diperoleh oleh calon melalui sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.
“Kementerian Pendidikan Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua calon yang layak menerima Sijil Alternatif Sekolah Menengah bagi Sesi Akademik 2025/2026,” menurut kenyataan itu.
Laluan berbeza, pengiktirafan setara
PASM merupakan antara inisiatif KPM untuk memastikan pelajar pendidikan khas dinilai secara lebih holistik, merangkumi aspek kebolehan, kemahiran, kefungsian serta potensi kendiri, selaras dengan tahap dan keperluan masing-masing.
Melalui penganugerahan SASM, pelajar pendidikan khas bukan sahaja menamatkan alam persekolahan secara rasmi, malah memperoleh pengiktirafan pendidikan yang boleh menjadi asas untuk melangkah ke alam pekerjaan, latihan kemahiran atau pembangunan kendiri pada masa hadapan.
KPM turut menegaskan komitmen berterusannya dalam memastikan akses pendidikan yang adil, saksama dan inklusif untuk semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, selaras dengan hala tuju serta aspirasi pendidikan negara.
Inisiatif seperti PASM dan penganugerahan SASM mencerminkan usaha berterusan kementerian dalam memartabatkan pendidikan khas, sekali gus memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan, walaupun melalui laluan yang berbeza.