Jimat RM10–RM15 seorang: Program gunting rambut kampung bantu persiapan sekolah

Iklan

Persediaan memasuki sesi baharu persekolahan dirancakkan lagi dengan program gunting rambut secara percuma oleh pelbagai pihak termasuk jawatan kuasa kampung dan komuniti bandar.

Baru-baru ini, anak-anak warga Kampung Seri Cheeding, Banting turut serta menjayakan program berkenaan yang diadakan beberapa hari sebelum kembali semula menuntut ilmu di sekolah masing-masing.

Iklan
Iklan

Program murni itu, selain memantapkan jasmani pelajar-pelajar, ia turut mengukuhkan rohani anak-anak untuk mengutamakan aspek kebersihan dan penampilan diri sebagai seorang muslimin.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Seri Cheeding (PPSC), Husaini Shoib, program komuniti itu dianjurkan secara bersama antara pihaknya dan Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Seri Cheeding.

Iklan

"Program gunting rambut hari ini merupakan program rutin tahunan yang kita adakan di Kampung Seri Cheeding ini. Ia bagi memberi peluang ibu bapa di kampung mendapat perkhidmatan gunting rambut untuk anak-anak mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran. Kalau di luar kosnya antara RM10 hingga RM15," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Program Gunting Rambut Perdana Kampung Seri Cheeding 2026-Back To School yang dirasmikan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Zurihan Yusop di sini pada Sabtu minggu lalu.

Iklan

Husaini berkata, program komuniti itu hanya terhad kepada pelajar sekolah berusia antara 7 hingga 17 tahun yang tinggal di kampung tersebut.

"Penyertaan terhad untuk 100 peserta dengan kaedah siapa yang datang dulu akan mendapat giliran untuk rambutnya digunting. Insya-ALLAH peruntukan ini cukup. Kita juga menyediakan cenderahati berupa alat tulis untuk setiap pelajar yang datang," katanya.

Jelasnya lagi, program seumpama ini akan diteruskan bagi membantu ibu bapa mengurangkan kos persediaan persekolahan anak-anak mereka.

Sementara itu, Zurihan berkata, program sedemikian amat bermanfaat bagi membantu melancarkan sesi persekolahan yang kembali bermula pada awal tahun.

"Walaupun cuti sekolah dipendekkan pada tahun lepas, ia tidak menghalang anak-anak untuk bersemangat meneruskan perjuangan menuntut ilmu bagi menjamin masa depan mereka.

"Program sebegini akan diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan kos persekolahan dapat diminimumkan. Kerajaan sendiri memberi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) setiap kali musim persekolahan untuk membantu rakyat terutama golongan B40," jelasnya.

Dalam pada itu, penduduk kampung, Hanyzam Selamat,40, berkata, program tersebut bukan sahaja mampu membantu ibu bapa mengurangkan kos hidup tetapi juga mampu mengeratkan perpaduan dalam masyarakat.

Katanya lagi, program sosial itu menjadi wadah untuk penduduk kampung bertemu dan bermesra sementara menunggu giliran anak masing-masing untuk digunting rambut mereka.

"Kos gunting rambut bukan sahaja tinggi di luar (salon), dengan adanya program sebegini penduduk boleh menggunakan duit yang dapat dijimatkan untuk menampung kos seharian yang lain. Kita sentiasa mengalu-alukan program sebegini untuk terus diadakan, terutama melibatkan bidang pendidikan dan masa depan generasi muda," ujarnya.