Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2025 menyaksikan momen manis dalam keluarga personaliti televisyen popular, Fedtri Yahya, apabila anak keduanya, Ahmad Willdan Arjuna berjaya meraih 9A dalam peperiksaan yang diumumkan pada Rabu.
Kejayaan cemerlang Arjuna ini dikongsi sendiri oleh Fedtri Yahya di media sosial Facebooknya.
"Alhamdulillah syukur. Arjuna dapat 9A #UPKK. Tahniah abang. Semoga terus maju jaya pada masa hadapan dan terus berjuang untuk menggapai misi-misi seterusnya,” tulis beliau.
Sebelum ini, Fedtri Yahya turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian anak sulungnya, Indah Sutera Jannah yang meraih 8A dalam UPKK 2023.
Pencapaian itu jelas meninggalkan kesan emosi mendalam bagi pasangan itu.
"Keputusan UPKK sudah keluar. Ya ALLAH…Syukur! Tahniah kakak. Kakak kerja keras. Rezeki nak masuk umur baru tak lama lagi. Sebak menangis mama dan daddy hari ini. Syukur," kongsi Fedtri Yahya di Instagram sebelum ini.
Terdahulu, seramai 24,761 calon berjaya meraih 9A dalam sembilan subjek UPKK yang diduduki manakala 25,230 memperoleh 8A dan 18,990 lagi meraih 7A dalam peperiksaan yang berlangsung November lalu.