Muallim Hazar 'obses' dengan dunia digital

Iklan
Muallim Hazar digelar 'cikgu digital' kerana kesungguhannya memanfaatkan teknologi dalam setiap sesi PdP.

Tidak pernah berhenti bereksperimen, demi murid lebih faham dan berani mencuba

Dalam dunia pendidikan yang semakin dipacu teknologi, tidak semua guru berani melangkah keluar daripada zon selesa.

Namun bagi Wan Hazaruddin Wan Hassan atau lebih dikenali sebagai Muallim Hazar, perubahan bukan sesuatu yang ditakuti, sebaliknya diraikan sebagai peluang untuk memartabatkan ilmu.

Iklan
Iklan

Berpengalaman selama 21 tahun sebagai pendidik, guru berusia 44 tahun yang kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Limau Lunas, Kedah itu cukup sinonim dengan dunia digital.

Dalam kalangan rakan sejawat dan murid, beliau digelar 'cikgu digital' kerana kesungguhannya memanfaatkan teknologi dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). 

Iklan

Anak kelahiran Kelantan itu percaya, teknologi bukan sekadar alat bantu mengajar, tetapi jambatan yang menghubungkan ilmu dengan dunia sebenar murid.

Muallim Hazar (tengah) dinobatkan Johan Anugerah Khas Pendidikan: Pencipta Kandungan Digital Peringkat Kebangsaan 2025 daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Iklan

"Saya percaya teknologi mampu menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan dekat dengan dunia murid," katanya kepada Sinar Bestari.

Mengajar subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam, Muallim Hazar tidak menunggu arahan atau kemudahan lengkap untuk bermula. Sejak awal kerjaya, beliau sudah meneroka pelbagai perisian secara kendiri, menghasilkan bahan digital walaupun dengan kemudahan minimum.

Daripada eksperimen kecil itu, lahir pendekatan inovatif Sing-ArT (Singing & Teaching Arabic) yang menggabungkan nyanyian dan pengajaran Bahasa Arab secara kreatif.

Kaedah ini bukan sahaja mencetus minat murid, malah membantu mereka menguasai kosa kata dan struktur ayat dengan lebih mudah dan menyeronokkan.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melanda negara, keyakinannya terhadap pendidikan digital semakin kukuh. Kelas beralih sepenuhnya dalam talian dan beliau pantas menyesuaikan diri.

Muallim Hazar

Beliau aktif menghasilkan video pembelajaran, mengendalikan sesi maya serta berkongsi ilmu bersama komuniti Akademi Youtuber Malaysia.

Setiap bahan yang dihasilkan bukan sekadar 'cantik dipandang', tetapi disusun bersama elemen pentaksiran formatif, pembentangan murid, refleksi kendiri dan aktiviti kreatif sebagai bukti pembelajaran.

Antara platform yang kerap digunakan termasuk pelantar DELIMa, Google Classroom, saluran YouTube pendidikan kendalian beliau, Canva serta platform pembelajaran interaktif seperti Wayground, Kahoot dan Wordwall.

Di samping itu, beliau memanfaatkan aplikasi AI seperti ChatGPT, Gemini, Microsoft Copilot, NotebookLM dan Suno AI untuk menjana bahan pengajaran serta memperkaya pengalaman PdP secara kreatif dan berimpak.

Namun bagi Muallim Hazar, satu prinsip sentiasa dipegang teguh.

"Teknologi mesti menjadikan murid lebih faham, bukan sekadar lebih seronok," tegasnya.

Muallim Hazar sentiasa ditemani keluarga tercinta yang tidak pernah berhenti memberi sokongan terhadap kerjayanya dalam dunia pendidikan.

Suami kepada Norazwani Shaari @ Md Noh dan bapa kepada empat cahaya mata iaitu Wan Hadif El-deen, Wan Nur El-Asyfa, Wan Nur El-Fadwa dan Wan Dani El-Zayn melihat dunia digital bukan untuk menggantikan guru, tetapi memperkasa peranan pendidik agar lebih relevan dengan generasi masa kini.

Cabaran PdP digital

Di sebalik keterujaan dunia digital, beliau tidak menafikan wujud cabaran besar dalam pelaksanaannya.

Perbezaan tahap akses kepada peranti dan capaian internet antara murid menjadi isu utama, selain tahap literasi digital guru yang tidak sekata.

Katanya, tidak semua murid mempunyai peranti atau capaian internet yang stabil. Ada juga guru yang masih kurang yakin menggunakan teknologi dalam pengajaran.

Sesi bimbingan digital untuk guru diadakan bagi memperkasakan kemahiran teknologi dan pedagogi digital mereka.

Bagi memastikan tiada murid tercicir, beliau mengambil pendekatan inklusif dengan menyediakan bahan pembelajaran fleksibel, menggabungkan kaedah bersemuka dan digital (pembelajaran hibrid) serta memilih aplikasi yang mesra pengguna.

Beliau juga aktif berkongsi amalan terbaik dan membimbing rakan guru melalui bengkel serta komuniti pembelajaran profesional.

"Perubahan mesti berlaku secara bersama, bukan secara individu. Apabila guru saling menyokong, PdP digital dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan berkesan," katanya lagi.

Melihat lima hingga 10 tahun akan datang, Muallim Hazar optimis pendidikan digital akan bergerak ke arah pembelajaran yang lebih diperibadikan dan fleksibel, diperkukuh dengan teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, pembelajaran tidak lagi terhad kepada bilik darjah fizikal, sebaliknya berlaku secara hibrid melalui gabungan bersemuka dan dalam talian yang saling melengkapi.

"Teknologi akan membantu guru mengenal pasti tahap penguasaan murid melalui analisis data pembelajaran. Ini membolehkan aktiviti PdP disesuaikan mengikut keperluan individu," ujarnya dengan menambah, guru masa depan bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi fasilitator yang bijak memanfaatkan data dan teknologi untuk membimbing potensi setiap murid.

Pesanan buat guru

Kepada guru yang masih ragu-ragu untuk beralih ke dunia digital, nasihatnya cukup jelas iaitu mulakan dengan langkah kecil dan konsisten.

"Pilih satu aplikasi yang mudah dan gunakan secara konsisten dalam PdP harian. Fokus bukan pada kecanggihan teknologi, tetapi bagaimana ia membantu murid memahami pelajaran dengan lebih jelas dan menyeronokkan.

"Guru tidak perlu bergerak bersendirian. Sertai komuniti, belajar daripada rakan sejawat dan ikuti latihan secara berperingkat," katanya yang percaya, apabila guru berani mencuba dan terus belajar, keyakinan akan terbina secara semula jadi.

Bagi Muallim Hazar, dunia digital bukan sekadar minat atau hobi sebaliknya ia adalah misi.

Misi untuk memastikan setiap murid, walau di mana mereka berada, berpeluang menikmati pembelajaran yang bermakna, relevan dan seiring dengan arus zaman.

INFO

Pendidikan:

  • SMU (A) Al-Ittihadiah Tanjong Pagar, Kelantan
  • SMU (A) Darul Sa’adah Beta Hulu, Kelantan
  • SMU (A) Sullamiah Bunut Payong, Kelantan
  • SMU (A) Azhariah Melor, Kelantan
  • Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab & Kesusasteraan, UIAM
  • Diploma Pendidikan Malaysia, IPG Kampus Pendidikan Islam Bangi, Selangor

Anugerah/Pencapaian:

  • Anugerah Perkhidmatan Cemerlang: 2015 dan 2023
  • Peserta Program ‘GIFT: KPM - United Kingdom’ 2025
  • Johan Anugerah Khas Pendidikan: Pencipta Kandungan Digital Peringkat Kebangsaan 2025
  • Johan Anugerah Pencipta Kandungan Digital Terbaik (DUTA) Negeri Kedah 2025
  • Naib Johan Guru Teknologi Pendidikan Terbaik (DUTA) Negeri Kedah 2025
  • Edufluencers KPM (Kohort 2)
  • Cikgu Juara Digital KPM - MDEC
  • Anugerah Emas Pertandingan Inovasi IICFE 2025 Peringkat Antarabangsa
  • Anugerah Emas Pertandingan Inovasi PedaTEd 2025 Peringkat Kebangsaan
  • Anugerah Perak Pertandingan Inovasi iRISE25 Peringkat Antarabangsa
  • Anugerah Mentor Cemerlang Akademi Youtuber Malaysia 2024/2025
  • Anugerah Perintis Digital Edufluencers KPM 2024
  • Anugerah Khas Pendidikan: Pencipta Kandungan Digital Peringkat Negeri Kedah 2024
  • Anugerah Khas Pendidikan: Pencipta Kandungan Digital Peringkat Daerah Kulim Bandar Baharu 2024

Muallim Hazar (kanan) terpilih sebagai peserta Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT) di United Kingdom baru-baru ini.

  • Anugerah Emas Pertandingan Inovasi SAMNOVA; Dynamic Innovative Minds; International Invention,Innovation & Design dan The International Competition On Sustainable Education (SUSED) Peringkat Antarabangsa 2024
  • Anugerah Emas dan Naib Johan Pertandingan Inovasi PedaTEd 2024 Peringkat Kebangsaan
  • Johan Pertandingan Tik-Tok & Poster AI Sempena KIDEC 2024 Peringkat Antarabangsa
  • Anugerah Permata Budi Jabatan Pendidikan Negeri Selangor 2023
  • Anugerah Khas Pendidikan: Pencipta Kandungan Digital Peringkat Daerah Gombak 2023
  • Anugerah Ikon Guru Pendidikan Maya Peringkat Daerah Gombak 2022/2023
  • Panel Pembinaan Modul Bahasa Arab Sekolah Rendah (BASRA), Sekolah-sekolah Agama Majlis Islam Sarawak
  • Panel Pembinaan Kit Penataran Dokumen Kurikulum Persekolahan 2027 (Bahasa Arab)
  • Panel Verifikasi dan Mereka Bentuk Dokumen Garis Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Kegunaan Guru dan Murid KPM
  • Jurulatih Utama Media USTP dan Bahasa Arab UPI Pejabat Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu
  • Mentor dan Pengurus Kualiti Akademi Youtuber Malaysia
  • Captain Google Educator Group Kota Kinabalu
  • Penasihat Akademik Grade Ace Academy
  • Panel Pakar bagi kajian Ijazah, Sarjana & PhD
  • Mentor guru dalam teknologi pendidikan dan pedagogi secara dalam talian dan bersemuka
  • Juri pertandingan digital, video dan inovasi di peringkat negeri dan kebangsaan