
Dunia Pendidikan Khas 'terlalu istimewa' buat Cikgu Velerie
Miracles Do Happen jadi pegangan Velerie hingga kini
Dr Velerie Wheelervon Primus, 37, bukanlah nama asing dalam dunia pendidikan.
Selain pelbagai pencapaian dan anugerah, beliau dikenali kerana keprihatinannya dalam bidang Pendidikan Khas.
Terbaharu, Velerie yang merupakan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan (SK Bingkor) Sabah, terpilih antara 50 Guru Terbaik Dunia Global Teacher Prize 2026.
Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan tetapi juga menjadi bukti bahawa dedikasi, usaha dan cinta kepada pendidikan mampu menghasilkan impak besar.
Ketika ditemu bual Sinar Bestari, anak kelahiran Keningau, Sabah itu berkongsi bahawa perjalanan menjadi guru Pendidikan Khas bukan mudah.
"Saya bermula di SK Pusat Lawas, Sarawak dengan aktif dalam sukan seperti olahraga dan karate-do.
"Dunia sukan bukan sahaja membina kekuatan fizikal, tetapi turut membentuk ketahanan mental, fokus dan kawalan emosi. Disiplin dan semangat juang ini membentuk saya menjadi pendidik hari ini," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sosial Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau.

Apabila berpindah ke SK Tuarid Taud, Keningau, Sabah, beliau diberi tanggungjawab mengajar seni kebudayaan, bidang yang ketika itu langsung baru baginya.
"Saya belajar daripada asas pergerakan, ritma dan ekspresi setiap langkah tari. Melalui proses pembelajaran berterusan, saya akhirnya mampu menghasilkan koreografi tari sendiri yang bermakna.
"Hasil usaha ini membuahkan kejayaan di mana lebih 60 anugerah diraih murid-murid pada pelbagai peringkat, termasuk enam kejuaraan antarabangsa.
"Kejayaan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan tetapi bukti bahawa keterbatasan awal bukan penghalang kepada kecemerlangan apabila usaha, disiplin dan kepercayaan digabungkan secara konsisten," ujarnya yang sudah berkhidmat selama 13 tahun.
Tahun 2020 menjadi titik perubahan paling signifikan dalam perjalanan beliau apabila membuat keputusan mengikuti Program Intervensi Tambah Opsyen Pendidikan Khas di IPG sama.
"Saya ingin mengenali dunia ini dengan lebih dekat bukan sekadar sebagai bidang tugas tetapi ruang perjuangan dan kemanusiaan.

"Dorongan dan perasaan 'jatuh hati' terhadap bidang itu mendorong saya meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Pendidikan Khas, dengan fokus yang lebih mendalam kepada bidang tersebut. Menerusinya, saya berjaya menghasilkan lebih 50 inovasi pendidikan berfokuskan intervensi, pengurusan pembelajaran dan sokongan holistik kepada murid berkeperluan pendidikan khas, selain aktif penulisan dan penerbitan artikel berkaitan,” katanya.
'Miracles Do Happen'
Bagi Velerie, Miracles Do Happen bukan sekadar kata motivasi, tetapi pegangan hidup hasil pengalaman.
"Tidak semua perubahan berlaku dengan segera dan tidak semua usaha menunjukkan hasil pada waktu yang kita harapkan. Namun, apabila kita terus melangkah dengan niat ikhlas, hati sabar dan cinta konsisten, keajaiban akan berlaku sedikit demi sedikit," jelasnya.
Akhir sekali, Velerie menitipkan nasihat kepada guru-guru baharu dalam meniti kerjaya sebagai pendidik.
"Kepada guru muda yang sedang membina diri dalam profesion ini, jadilah diri sendiri dan sentiasa bertumbuh. Jangan terlalu cepat membandingkan diri dengan guru lain.
"Ada guru yang menyerlah di pentas, ada bekerja senyap tetapi mampu mengubah hidup murid, kedua-duanya sama mulia. Fokuslah kepada impak dan kemenjadian murid, bukan semata-mata pengiktirafan.
"Ingatlah, murid tidak memerlukan guru sempurna. Mereka memerlukan guru yang hadir, mendengar dan percaya kepada mereka, walaupun dunia kadang meragui. Sikap ini akan membina keyakinan, keberanian dan harapan dalam diri murid," ujar pemenang Malaysia Teacher Prize (MTP) 2024.

PROFIL
Latar belakang pendidikan
1) SK Kampung Keningau, Sabah
2) Sekolah Menengah Kebangsaan Bingkor
3) Sekolah Menengah Teknik Keningau
4) IPG Keningau - Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Sosial)
5) Open Universiti Malaysia (OUM)- Ijazah Sarjana Pengurusan
6) IPG Keningau - Diploma Pendidikan (Pendidikan Khas)
7) Universiti Malaysia Sabah - Ijazah Kedoktoran dalam Pengurusan Pendidikan Khas

Anugerah/Pencapaian
1) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2017)
2) Anugerah Pencapaian Cemerlang Kokurikulum Peringkat Daerah Keningau (2017/2020)
3) Anugerah Ikon Guru Seni Budaya Peringkat Negeri Sabah (2021/2022)
4) Anugerah Emas Pertandingan Inovasi Pendidikan Kategori Guru Sekolah Rendah Jabatan Pendidikan Negeri Perak (2022)
5) Anugerah Pamer Keunggulan Peringkat Negeri Sabah (2022)
6) Anugerah Platinum Inovasi Pendidikan Kit Sukat’ Peringkat Kebangsaan (2023)
7) Anugerah Perak Inovasi ‘Hoko Magika’ Peringkat Antarabangsa (2023)
8) Anugerah Rise Educator Malaysia (2023)
9) Edufluencer 3.0 Kementerian Pendidikan Malaysia (2023)
10) Anugerah Guru Pendidikan Khas Berwibawa (2024)
11) Pemenang MTP (2024)
12) 50 Guru Terbaik Dunia bagi Global Teacher Prize 2026
Ringkasan AI
- Miracles Do Happen jadi pegangan beliau hingga kini
- Dr Velerie Wheelervon Primus dikenali atas keprihatinannya dalam Pendidikan Khas dan terpilih antara 50 Guru Terbaik Dunia Global Teacher Prize 2026
- Pengalaman dalam dunia sukan membentuk ketahanan mental dan disiplin Velerie sebagai pendidik
- Velerie telah menghasilkan lebih 60 anugerah untuk murid-muridnya melalui pengajaran seni kebudayaan dan koreografi tari
- Beliau berjaya menghasilkan lebih 50 inovasi pendidikan dalam Pendidikan Khas dan menasihati guru baru untuk fokus kepada impak dan kemenjadian murid
