
Tiada 'A' SPM bukan penamat
Dr Ridzuan buktikan usaha tanpa putus asa mampu ubah nasib
Keputusan kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penamat kepada kehidupan.
Yang penting, usaha dan semangat individu itu sendiri mampu mengubah masa depan.
Kisah Dr Mohd Ridzuan Md Nasir, 41, menjadi bukti nyata bahawa kegigihan dan ketabahan boleh mengubah nasib.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, mengakui tiada sebarang 'A' dalam keputusan SPM yang diperolehinya pada tahun 2002.
"Bila bawa balik slip (penyata) keputusan peperiksaan dan tunjuk kepada abah, kena 'bebel'. Abah cakap, dengan hasil macam ini tidak boleh masuk universiti. Saya hanya tunduk diam. Memang tak dapat tawaran dari mana-mana universiti masa itu,” katanya kepada Sinar Bestari.
Selepas SPM, beliau menyambung pengajian diploma di Politeknik Kota Bharu dalam bidang pemasaran. Namun, prestasi ketika itu juga kurang memberangsangkan apabila semester akhir dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.75.
Dengan kelayakan diploma yang sederhana, Ridzuan menghadapi cabaran dalam kerjaya apabila sering gagal dalam temu duga pekerjaan.
"Saya pernah bekerja di pam minyak, menjadi jurujual di pasar raya, jurujual racun serangga dan macam-macam. Orang pandang sebelah mata sebab kerja bukan yang berpangkat," ujarnya.

Minat subjek Bahasa Melayu
Demi kehidupan lebih baik, Ridzuan menyambung Ijazah Sarjana Muda di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kali ini, nasibnya berubah apabila meraih beberapa Anugerah Dekan dan menamatkan pengajian dengan PNGK 3.47.
Ridzuan kemudian bergelar pendidik dan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, Serian, Sarawak.
Walaupun opsyen utama Pengajian Am, beliau diberi tanggungjawab mengajar Bahasa Melayu kerana sekolah tidak mempunyai pelajar Tingkatan Enam. Dari situ, minat dan kecintaan terhadap subjek Bahasa Melayu berkembang.
Ridzuan aktif mengikuti kursus pendek, seminar dan menimba ilmu daripada guru berpengalaman. Beliau menghasilkan pelbagai inovasi pembelajaran dan kajian tindakan yang mendapat pengiktirafan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Malah, namanya mula dikenali melalui perkongsian inovasi di media sosial dan bengkel kajian tindakan sekolah seluruh negara. Beliau turut menerbitkan buku panduan bagi memudahkan guru menghasilkan projek sendiri.

Sarjana dan PhD
Pada tahun 2017, Ridzuan mendapat Biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pengajian sarjana Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Kemudian pulang berkhidmat di SMK Ismail Petra, Kelantan.
Dua tahun kemudian, beliau sekali lagi menerima HLP KPM bagi menyambung pelajaran ke peringkat PhD bidang Linguistik Terapan (Pragmatik) di UNIMAS juga.
Kini, Ridzuan berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, Kelantan.
"Walaupun pada awalnya tidak bermula dengan baik, tidak semestinya pengakhiran kita juga buruk. Tiada 'A' dalam SPM tidak semestinya anda gagal dalam kehidupan. Yang penting, jangan berhenti belajar dan berusaha," ujarnya.
PROFIL
Pendidikan:
- Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan, UPSI (2007-2011)
- Ijazah Sarjana Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa, UNIMAS (2017-2019)
- Ijazah PhD Linguistik Terapan (Pragmatik), UNIMAS (2025)
Kepakaran:
- Analisis peribahasa Melayu (Semantik Inkuisitif)
- Pragmatik (Teori Relevans)
- Kajian Tindakan
- Inovasi dalam Pendidikan
- Pedagogi Bahasa Melayu
Anugerah/Pencapaian:
- Anugerah Guru Inovatif Peringkat PPD Serian 2016
- Anugerah Guru Inovatif Peringkat JPN Sarawak 2017
- Pingat Emas Pertandingan The Teacher’s Innovation Carnival Antarabangsa 2019
- Top 50 Guru Adiwira PAK-21 KPM 2019
- Naib Johan Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif Berimpak Tinggi (Zon Sarawak) 2019
- Dilantik Edufluencer KPM 2019
- Anugerah Guru Inovatif Peringkat Negeri Kelantan 2020
- Pembentangan Terbaik Kolokium Pendidikan Tingkatan Enam Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 2022
Ringkasan AI
- Dr Ridzuan buktikan usaha tanpa putus asa mampu ubah nasib walaupun keputusan SPMnya tiada 'A'
- Selepas SPM, menyambung pengajian diploma dan menghadapi cabaran dalam mencari kerja namun tetap tidak berputus asa
- Menyambung Ijazah Sarjana Muda di UPSI, nasib berubah menjadi lebih baik, meraih beberapa Anugerah Dekan
- Bergelar pendidik dan aktif dalam menghasilkan inovasi pembelajaran yang mendapat pengiktirafan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa
- Menerima biasiswa untuk sarjana dan PhD, kini berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Kota Bharu
