Usaha membudayakan kelestarian alam sekitar dalam kalangan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) diperkukuh apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Johor Bahru, Skudai, berjaya melaksanakan Program Hijau Lestari yang menyaksikan penanaman kira-kira 800 anak pokok di kawasan sekolah.
Program yang berlangsung pada 30 Januari lalu itu melibatkan penyertaan MBPK, guru dan ibu bapa, dengan sokongan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang turut menyumbang anak pokok dan tanah bagi menjayakan aktiviti penghijauan tersebut.
Inisiatif ini bukan sahaja memperindah landskap sekolah, malah menjadi platform pendidikan praktikal bagi murid memahami kepentingan memelihara alam sekitar sejak usia muda.
Guru Besar, Noraspalelawati Razali berkata, program seumpama ini mampu membentuk kesedaran murid terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.
"Kami mahu murid memahami bahawa usaha kecil seperti menanam pokok boleh memberi kesan besar kepada masa depan alam sekitar. Program ini juga memperkukuhkan hubungan antara sekolah, komuniti dan agensi luar," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis MBIP, Chuah Lee Hui, Sekolah Agama Pendidikan Kebangsaan Johor Bahru (SAPKJB) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas sokongan padu yang diberikan dalam menjayakan program itu.
Terdahulu, program bertemakan ‘Menanam Harapan, Menyemai Kelestarian’ dianjurkan oleh Kelab Kitar Semula dan Kelestarian SK Pendidikan Khas Johor Bahru, dengan kerjasama SAPKJB dan PIBG.
Seramai 60 MBPK, dibimbing 15 guru sekolah dan 10 guru SAPKJB, bersama 40 ibu bapa terlibat secara langsung dalam aktiviti penanaman pokok hiasan dan pengindahan landskap di kawasan hadapan blok pentadbiran sekolah.
Aktiviti ini bukan sahaja melatih murid tentang kemahiran asas berkebun, malah menyemai sifat tanggungjawab, kerjasama dan kasih sayang terhadap alam sekitar.